Skip to main content

Malaysia

JIWA SME 2026: GeniusKids, M-Aurelia ungguli segmen Pentas Jual dan CIPTA

JIWA SME 2026 KL PEMENANG_TB
Panel juri bergambar bersama peserta dan pemenang Segmen Pentas Jual serta CIPTA sempena Jelajah JIWA SME 2026 di sini pada Sabtu. - Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: GeniusKids menerima Anugerah Penyertaan Terbaik Segmen Pentas Jual, manakala pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Nur Alya Aina Mohamad, dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Penyertaan Terbaik bagi segmen baharu, CIPTA, pada Jelajah JIWA SME 2026.

GeniusKids membawa pulang tajaan kandungan editorial Astro AWANI dengan nilai media RM50,000, manakala M-Aurelia menerima artikel di platform Astro AWANI dengan nilai media RM10,000.

Pentas Jual dan CIPTA yang berlangsung sempena Jelajah JIWA SME 2026 menyaksikan penyertaan 15 peserta terdiri daripada usahawan tempatan serta pelajar institusi pengajian tinggi.

Segmen Pentas Jual memberi ruang kepada usahawan membentangkan produk, penyelesaian perniagaan dan keunikan tawaran masing-masing, manakala CIPTA diperkenalkan buat kali pertama bagi mengetengahkan inovator serta pencipta muda dengan idea untuk menyelesaikan masalah masyarakat.

Kesemua peserta diberi lima minit untuk membentangkan idea di hadapan panel juri yang terdiri daripada Naib Presiden Kandungan Kreatif dan Editorial Komersial Astro AWANI, Cherish Leow; Pengurus Besar Unifi Business, Nazlina Othman; serta Rakan Kongsi dan Ketua Pegawai Eksekutif 1337 Ventures, Bikesh Lakhmichand.

Dalam pada itu, Pengurus Besar Penyelesaian Generasi Baharu Unifi Business, Kelvin Shaman, menggantikan Nazlina Othman sebagai anggota panel juri untuk segmen CIPTA.

GeniusKids yang diasaskan Nur Hafizah Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Cikgu Fyza menawarkan pembelajaran awal membaca dan menulis kepada kanak-kanak seawal usia empat tahun menerusi platform fizikal serta dalam talian.

Pusat pembelajaran itu yang telah beroperasi selama sedekad bermula daripada usaha membantu anak saudaranya menguasai kemahiran membaca dan menulis sebelum berkembang menjadi perkhidmatan pendidikan awal kanak-kanak.

Bagi segmen CIPTA, Nur Alya Aina Mohamad mengetengahkan M-Aurelia, inovasi krim pelembap tanpa air berasaskan tumbuhan yang menggunakan pemekat semula jadi, minyak sayuran, vitamin E dan bahan antioksida.

Inovasi itu diketengahkan sebagai alternatif kepada penggunaan bahan berasaskan petroleum dalam produk penjagaan kulit.

Sementara itu, Pelosok Salai menerima Anugerah Penyertaan Impak Tinggi Segmen Pentas Jual menerusi rangkaian produk makanan sedia dimakan berasaskan masakan salai tradisional.

Antara produk yang diperkenalkan ialah Daging Batang Pinang Salai Lemak Cili Api, Siput Sedut Masak Lemak Cili Api dan Daging Palembang yang disasarkan untuk pasaran makanan sedia dimakan serta jualan dalam talian.

Koleksi Gemilang pula menerima Anugerah Penyertaan Pilihan Khas menerusi rangkaian produk berasaskan herba dan bahan semula jadi, termasuk produk bidara limau purut.

Kedua-dua pemenang Pentas Jual itu masing-masing menerima artikel di platform Astro AWANI dengan nilai media RM10,000.

Pengenalan segmen CIPTA memperluas skop JIWA SME tahun ini dengan menggabungkan peluang keterlihatan perniagaan untuk usahawan tempatan serta platform pembentangan bagi inovator muda mengembangkan idea mereka.

Jelajah JIWA SME 2026 merupakan siri keempat inisiatif Astro AWANI bersama penaja utama Unifi Business yang menjelajah lima lokasi, bermula di Kuala Lumpur sebelum diteruskan ke Kota Kinabalu, Kuala Terengganu, Kelana Jaya dan Alor Setar, dengan tema industri berbeza bagi membuka lebih banyak peluang kepada PMKS tempatan.

Untuk maklumat lanjut boleh layari jiwasme.com.my.
 

Must Watch Video

Advertisement