Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara (JKD) mempelawa orang ramai memberikan cadangan bagi menambah baik sistem pendidikan di negara ini.

Sehubungan itu, JKD akan melakukan tinjauan umum bagi mengumpul maklumat secara keseluruhan bagi memahami sendiri keperluan sistem pendidikan negara.

Menurut Pengerusi JKD, Prof Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Ahmad Bajunid, cadangan itu bertujuan menambah baik sistem kurikulum yang turut meliputi aspek kesedaran sivik dan pembentukan nilai murni.

“Jawatankuasa ini menjemput rakyat menerusi arus perdana bagi memberi maklum balas tentang apakah gambaran dan perubahan yang mereka inginkan dalam sistem pendidikan negara khususnya dalam dasar pendidikan.

“Selain itu, sebanyak kira-kira 2,000 maklum balas dari orang awam dikumpulkan dari platform dalam talian sejak ia dibuka pada 12 Januari lalu.

“JKD akan melanjutkan tempoh itu bagi membolehkan lebih banyak maklum balas diterima ke arah memantapkan sistem pendidikan negara,” katanya pada sidang media di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, katanya pihaknya percaya syor yang akan dikemukakan JKD kepada Kementerian Pendidikan akan menambah baik dasar pendidikan negara.

Malah, pembinaan karakter kebangsaan Malaysia berteraskan ilmu, kemahiran dan sahsiah adalah penting ke arah membentuk bangsa Malaysia yang berjaya.

Terdahulu, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mengumumkan penubuhan JKD sebagai badan bebas bagi mengkaji dasar pendidikan negara selain Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (Prasekolah hingga lepasan menengah) dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan tinggi).

JKD dianggotai 13 anggota dan bekerjasama dengan Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) dalam mengkaji dasar pendidikan negara sebelum membuat syor kepada Kementerian Pendidikan pada 30 April ini.

Semua cadangan dan idea boleh disalurkan menerusi pautan https://goo.gl/forms/fq0dj2BFqQPoGEZx1. Selain itu, borang khas bagi tujuan berkenaan boleh diperoleh dengan menulis kepada JKD di alamat emel [email protected].

Sehingga kini, lebih 2,000 maklum balas secara dalam talian telah diterima.