Mohamad Asfia catat sejarah jadi Speaker DUN paling lama di Malaysia

Mohamad Asfia (kiri), menerima surat watikah pelantikan semula sebagai Speaker DUN Sarawak daripada Dr Wan Junaidi, di Astana Negeri, Petra Jaya, hari ini. - Gambar Bernama
KUCHING: Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar mencatat sejarah sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) paling lama berkhidmat di Malaysia apabila dilantik semula ke jawatan itu di DUN Sarawak hari ini.
Ringkasan AI
- Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar dilantik semula sebagai Speaker DUN Sarawak, menjadikannya paling lama berkhidmat di Malaysia dengan tempoh perkhidmatan melebihi dua dekad.
- Pelantikan semula beliau berkuat kuasa selama dua tahun bermula 16 Nov hingga 15 Nov 2027, disaksikan oleh pemimpin penting seperti Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
- Mohamad Asfia, lulusan undang-undang dari Universiti Leeds, England, mempunyai pengalaman luas dalam sektor korporat dan media serta pernah berkhidmat dalam politik dan pentadbiran negeri sejak tahun 1974.
Tempoh perkhidmatan Mohamad Asfia yang melebihi dua dekad turut menjadikan beliau sebagai antara tokoh legislatif paling berpengalaman dalam sejarah pentadbiran negara.
"Pelantikan semula bagi penggal ke-10 ini mencerminkan keyakinan kerajaan negeri terhadap kepimpinan, pengalaman dan komitmen berterusan Tan Sri Mohamad Asfia dalam menerajui institusi perundangan tertinggi Sarawak," menurut kenyataan itu.
Mohamad Asfia merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Leeds, England, dan pemegang kelayakan Barrister-at-Law dari Inner Temple, London.
Beliau juga memiliki kelulusan pascasiswazah dalam Pengurusan Pelabuhan dan Perkapalan dari Universiti Wales, Cardiff.
Mohamad Asfia memulakan kerjaya sebagai Penasihat Undang-Undang Perbadanan Kemajuan dan Perindustrian Kayu Sarawak dari 1974 hingga 1976 sebelum berkhidmat sebagai peguam dari 1976 hingga 2000.
Selain itu, beliau pernah memegang jawatan penting dalam sektor korporat dan media termasuk Pengerusi Interfinance Berhad (1980-1991) dan Ketua Pengarang akhbar The Sarawak Tribune (1990-2000).
Dalam arena politik dan pentadbiran negeri, Mohamad Asfia pernah berkhidmat sebagai Ahli DUN bagi kawasan Kuala Rajang dan Serdeng/Semop serta memegang jawatan Timbalan Speaker DUN Sarawak dari 1995 hingga 2000 sebelum dilantik sebagai Speaker pada 2002.
Beliau turut memegang jawatan Pengerusi Tetap Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Pengerusi Jawatankuasa Perlembagaan parti berkenaan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


