KUALA LUMPUR:JAWATANKUASA Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) bersetuju supaya Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) bersama Menteri-menteri Kanan, Ketua Setiausaha Negara, Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memperhalusi garis panduan pengeluaran surat sokongan oleh anggota pentadbiran.

Menurut Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan, ia sebagai langkah untuk memantapkan integriti dan tadbir urus anggota pentadbiran berkenaan.

Mesyuarat juga bersetuju dengan dua syor Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi menambah baik tatacara dan kaedah penilaian tender melalui peningkatan integriti maklumat dalam memastikan keberkesanan penilaian tender iaitu mengadakan satu usahasama di antara JKR, dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk menggunakan maklumat yang terdapat dalam pangkalan data agensi bagi tujuan penilaian tender dan menguatkuasakan syarat bon tender bagi tender tertentu kerajaan.

Selain itu, bagi memantapkan proses tatatertib dalam perkhidmatan awam, mesyuarat bersetuju satu perbincangan diadakan di antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Jabatan Peguam Negara bagi membolehkan Laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (LSPRM) dan Laporan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (LSEAIC) dijadikan sebagai keterangan dalam prosiding tatatertib.

Ia bertujuan meningkatkan keberkesanan tindakan tatatertib yang diambil oleh jabatan-jabatan. Ini termasuk menjadikan Pemantauan Status Maklum Balas Laporan SPRM dan Laporan EAIC sebagai satu agenda tetap dalam Mesyuarat Jawatankuasa Anti-Rasuah (JAR) Kebangsaan/ Negeri/ Jabatan.

Pada masa sama, JKKMAR juga bersetuju agar satu kajian komprehensif berkaitan Pengwujudan Peruntukan Undang-Undang Baharu berkenaan Perjanjian Penangguhan Pendakwaan (Deferred Prosecution Agreement) secara bersama oleh Jabatan Peguam Negara dan SPRM berkaitan peruntukan Liabiliti Korporat.

"Kajian bagi melihat mekanisme dan penanda aras bagi suatu organisasi komersial yang telah dipertuduh di bawah Sek 17A (4) ASPRM," kata Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan selepas Mesyuarat JKKMAR Siri 13 Bilangan 3 Tahun 2020 secara sidang video yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Khamis.

Selain itu, bagi meningkatkan integriti Setiausaha Politik (SUPOL), JKKMAR turut bersetuju dengan syor GIACC supaya diwujudkan Kod Tugas dan Fungsi Setiausaha Politik sesuai dengan objektif pelantikan mereka dalam membantu menguruskan hal ehwal berkaitan urusan politik sahaja.

"Oleh itu, bagi melengkapkan peningkatan integriti dalam proses sokongan, Arahan Perdana Menteri berkaitan Kod Tugas dan Fungsi SUPOL ini dapat menyempurnakan arahan terdahulu yang telah dikeluarkan khusus untuk pegawai kerajaan," kata kenyataan lagi.

Mesyuarat selain itu, bersetuju dengan syor Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk melaksanakan Program Authorized Economic Operator (AEO) di peringkat nasional.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, pelaksanaan Program AEO  bertujuan meningkatkan pematuhan industri, keselamatan dan fasiliti perdagangan di sempadan yang membabitkan urusan import eksport.

"Pada pembentangan Belanjawan 2021 lalu, kerajaan telah mencadangkan pelaksanaan program AEO oleh JKDM dengan pembabitan jabatan, agensi pengawal atur dan penguatkuasaan bagi memberi kemudahan pelepasan kargo berisiko rendah.

"Dalam masa yang sama semua agensi berkenaan dapat meningkatkan keberkesanan kerja dengan memberi penumpuan pemeriksaan terhadap kargo yang berisiko tinggi. Antara lain ia juga dapat mengurangkan isu-isu rasuah dan ketirisan hasil kerajaan. Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) juga telah bersetuju dengan peruntukan sebanyak RM3.3 juta setahun bagi merealisasikan program AEO secara bersepadu di peringkat nasional," katanya.

Mesyuarat turut mengambil maklum mengenai usaha menyebar luas aspek governans, integriti dan antirasuah melalui promosi dan publisiti media yang akan dipergiatkan berdasarkan konsep normal baharu.

Sebanyak tujuh kertas mesyuarat telah dibincangkan dan dimaklumkan kepada ahli-ahli JKKMAR, fokus kepada inisiatif-inisiatif untuk menambah baik governans dan integriti dalam memerangi rasuah sepertimana yang telah digariskan dalam Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 (NACP).