Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menghantar empat laporan mengenai perkembangan anak-anak pasangan Azizul Raheem Awaluddin dan Shalwati Nor Shal yang ditahan di Sweden kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Sosial Negara Sweden.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim dalam sidang media di Majlis Karisma Mayang dan Nadi 2014 Negeri Sarawak di Kuching, semalam, berkata, laporan yang dihantar melalui Wisma Putra menyatakan usaha kempat-empat anak tersebut dalam menyesuaikan diri dengan persekitaran di Malaysia dan juga di sekolah.

JKM juga ditugaskan bagi memastikan pematuhan tiga syarat yang ditetapkan kerajaan Sweden yang membolehkan anak-anak pasangan tersebut dibawa pulang pada bulan lepas.

Tiga syarat tersebut adalah pihak Malaysia perlu menghantar laporan berkala, mengadakan sesi kaunseling dan memastikan jaminan sosial kempat-empat adik-beradik itu terjamin dan terjaga seperti terkandung dalam perkara 3 dan 20 Konvensyen Hak Kanak-kanak atau CRC.

Azizul, pegawai Tourism Malaysia di Stockholm dan isterinya, Shalwati seorang guru yang bercuti tanpa gaji kini sedang menunggu perbicaraan yang akan bersambung pada 10 Mac di Mahkamah Daerah Solna setelah ditahan reman sejak Disember 2013.

Mereka ditahan kerana didakwa memukul anak-anak mereka, Aisyah 14, Ammar 12, Adam 11 dan Arif 7 yang kini dibawah jagaan ibu saudara mereka di Kota Bharu.

Kesemua mereka dibawa pulang dari Sweden oleh Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin, pada awal bulan Februari.