Skip to main content

Malaysia

JKM kesan ibu kandung, waris kanak-kanak perempuan

JKM kesan ibu kandung, waris kanak-kanak perempuan
JKM memaklumkan Afifah Hilya Nafisah ditempatkan di institusi kendalian pihaknya sejak 8 Mac 2023 bagi memastikan keselamatan dan kebajikan kanak-kanak itu terpelihara. - Gambar JKM

GEORGE TOWN: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang mengesan ibu kandung dan waris kepada seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang kini berada dalam jagaan jabatan itu selepas disyaki menjadi mangsa penderaan fizikal oleh penjaganya.

JKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan Afifah Hilya Nafisah ditempatkan di institusi kendalian pihaknya sejak 8 Mac 2023 bagi memastikan keselamatan dan kebajikan kanak-kanak itu terpelihara.

"Usaha mengesan ibu kandung kanak-kanak itu yang dikenali sebagai Ida Rohana, warga Indonesia masih belum berhasil manakala maklumat bapa kandung masih tidak diperoleh walaupun siaran media pencarian waris dikeluarkan pada 10 Mac 2023," menurut kenyataan itu.

JKM memohon kerjasama ibu kandung atau mana-mana ahli keluarga yang mempunyai pertalian dengan kanak-kanak itu untuk tampil menghubungi Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Seberang Perai Tengah bagi membantu proses penilaian dan perancangan penempatan jangka panjang.

Menurut kenyataan itu, maklumat dan kerjasama daripada ibu kandung atau waris amat penting bagi membolehkan mahkamah dan JKM membuat keputusan terbaik demi kebajikan, keselamatan serta masa depan kanak-kanak tersebut.

JKM memaklumkan sekiranya ibu kandung atau waris tidak berhasrat atau tidak berkeupayaan untuk mengambil tanggungjawab menjaga kanak-kanak itu, perkara berkenaan perlu dimaklumkan secara rasmi bagi membantu proses perancangan penempatan kekal yang bersesuaian.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai ibu kandung atau waris kanak-kanak berkenaan boleh menghubungi PKMD SPT atau hadir ke Tingkat 2, Wisma Hock Teik di Bukit Mertajam atau menghubungi pelindung, Norhasliza Abdullah di talian 04-5382584 / 04-5385705 atau e-mel [email protected].

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement