Skip to main content

Malaysia

JKM perkukuh kesiapsiagaan hadapi Monsun Timur Laut

Nancy berkata, JKM mempertingkat kesiapsiagaan bagi menghadapi MTL 2026/2027 dengan menyediakan 8,180 PPS di seluruh negara yang mampu menampung sehingga 1.86 juta mangsa bencana. - Foto BERNAMA
Nancy berkata, JKM mempertingkat kesiapsiagaan bagi menghadapi MTL 2026/2027 dengan menyediakan 8,180 PPS di seluruh negara yang mampu menampung sehingga 1.86 juta mangsa bencana. - Foto BERNAMA

Ringkasan AI

  • JKM menyediakan 8,180 Pusat Pemindahan Sementara seluruh negara untuk menghadapi Monsun Timur Laut 2026/2027, mampu menampung sehingga 1.86 juta mangsa.
  • Peruntukan RM77.8 juta disediakan bagi pengurusan bencana, pembelian barangan asas mangsa, dan menaik taraf kemudahan penyimpanan bekalan bencana.
  • Sistem InfoBencana JKM 4.0 digunakan untuk pendaftaran, penyaluran bantuan, serta pengurusan maklumat mangsa sebelum, semasa dan selepas bencana.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mempertingkat kesiapsiagaan bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027 dengan menyediakan 8,180 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negara yang mampu menampung sehingga 1.86 juta mangsa bencana.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, persediaan itu turut melibatkan peruntukan kewangan berjumlah RM77.8 juta bagi memastikan pengurusan bencana dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan menyeluruh.

Menurutnya, peruntukan berkenaan merangkumi keperluan pengurusan bencana termasuk pembelian barangan asas untuk mangsa serta menaik taraf kemudahan penyimpanan bekalan bencana.

Advertisement

"Dalam aspek pengurusan mangsa, setiap PPS didaftarkan menerusi Sistem InfoBencana JKM dengan penggunaan kod QR bagi memudahkan proses pendaftaran serta penyaluran bantuan kepada mangsa yang berdaftar.

"JKM turut memperkenalkan penggunaan sepenuhnya Sistem InfoBencana JKM 4.0 atau MyIBJKM bagi memudahkan orang ramai menguruskan maklumat diri dan keluarga sebelum, semasa serta selepas bencana," katanya mengenai tahap persiapan kerajaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) dalam Sidang Parlimen di sini hari ini.

Advertisement

Nancy berkata, aplikasi itu membolehkan pengguna membuat pendaftaran kendiri, mengemas kini maklumat keluarga, mencari PPS terdekat serta melaksanakan proses daftar masuk dan keluar menggunakan kod QR.

"Mangsa juga boleh menggunakan aplikasi berkenaan untuk memohon serta menyemak status Bantuan Wang Ihsan (BWI). Bagi memastikan kelancaran operasi, lebih 4,800 pegawai dan kakitangan JKM turut digerakkan bagi memastikan kebajikan golongan rentan termasuk wanita, kanak-kanak, warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU), khususnya dari aspek bantuan asas, sokongan psikososial serta keselamatan sepanjang berada di PPS," katanya.

Mengulas kebajikan petugas, Nancy berkata, JKM melaksanakan sistem penggiliran bagi mengelakkan keletihan melampau dalam kalangan anggota yang bertugas mengendalikan PPS.

"Kakitangan dari daerah berdekatan akan digerakkan dalam tempoh 24 hingga 48 jam bagi membantu mengambil alih sebahagian tugas, manakala bantuan daripada negeri berhampiran turut disediakan sekiranya beberapa daerah berdepan bencana serentak.

"Dalam pada itu, sebanyak 40 siri latihan dan simulasi pengurusan PPS akan dilaksanakan dengan penyertaan kira-kira 6,000 peserta daripada agensi kerajaan, pemimpin tempatan serta komuniti bagi memastikan semua pihak bersedia menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang musim tengkujuh," katanya.

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement