JOHOR BAHRU: Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) melaksanakan aktiviti pengawasan ke atas ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan surau di daerah Johor Bahru pada Sabtu susulan kewujudan kluster COVID-19 melibatkan majlis keagamaan akhir-akhir ini.

JKNJ menerusi laman Facebook memaklumkan seramai 324 AJK masjid dan surau hadir melakukan ujian saringan COVID-19 di Masjid At-Taqwa, Taman Kota Masai serta Masjid Tan Sri Ainuddin Wahid, Taman Universiti di sini dalam usaha mengawal penularan wabak itu.

"Seramai 75 petugas kesihatan terlibat (dalam aktiviti pengawasan) terdiri daripada anggota Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru, Kota Tinggi, Kulai, Mersing, Segamat, Pontian dan Tangkak," menurut JKNJ.

Untuk rekod, Johor membenarkan hanya 50 jemaah menunaikan solat Jumaat serta solat fardu di masjid dan surau Jumaat manakala 20 jemaah dibenarkan menunaikan solat di surau dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Khamis lepas.

Jumlah itu termasuk pegawai, AJK masjid atau surau dan arahan tersebut turut terpakai bagi aktiviti pengimarahan masjid dan surau hingga 7 Jun ini atau satu tarikh yang akan dimaklumkan Majlis Agama Islam Negeri Johor.

Johor merekodkan 477 kes baharu semalam menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan COVID-19 di negeri itu sebanyak 53,414 kes dengan 202 kematian.

-- BERNAMA