KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) menafikan dakwaan yang tular mengenai kakitangan Hospital Sibu dipaksa bertugas melebihi masa hingga 'burnout' (kelesuan fizikal, mental dan emosi) dan beberapa tuduhan lain.

Mengakui cuti rehat dibekukan Pengarah JKNS, Datuk Dr Mohamed Sapian Mohamed bagaimanapun menjelaskan, terdapat beberapa kelonggaran diberikan kepada kakitangan yang benar-benar mahu bercuti.

"Ia melibatkan kes kecemasan melibatkan ahli keluarga seperti urusan perubatan dan kematian. Malah, cuti rehat turut dipertimbangkan kepada petugas yang mengalami masalah kepenatan atau kelesuan dan kurang sihat bagi menjamin kebajikan mereka," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mengulas mengenai dakwaan penggunaan katil di Hospital Sibu yang dimanipulasi kapasiti, Dr Mohamed Sapian berkata, hospital berkenaan menambah jumlah katil untuk merawat pesakit COVID-19 berdasarkan keperluan semasa.

Malah tegasnya, walaupun terdapat penambahan katil, kadar penggunaan bulanan tetap melebihi 100 peratus. Pengurangan bilangan katil COVID-19 semasa pandemik adalah rendah.

"Bagi September 2021, purata kemasukan pesakit ke Wad COVID-19 dalam sehari adalah 89 pesakit dan purata discaj dalam sehari adalah 118 pesakit. Setakat 30 September 2021, sebanyak 275 kes aktif sedang dirawat di Wad COVID-19 Hospital Sibu termasuk 147 pesakit COVID-19 kategori 2 3, 4 dan 5.

"Jumlah keseluruhan katil di Hospital Sibu adalah 642 katil dan masih terdapat kekosongan bagi 157 katil bagi menampung pesakit baharu," katanya.

Dr Sapian menambah, bagi menyokong sumber manusia sedia ada, seramai 52 jururawat terlatih kontrak telah ditempatkan bersama 10 pegawai perubatan dari Semenanjung yang akan dimobilisasi ke Hospital Sibu pada 5 Oktober hingga 24 Disember 2021.

Selain itu, mengenai isu kakitangan hospital yang dijangkiti COVID-19, beliau berkata berdasarkan siasatan, majoriti 53 kes aktif COVID-19 dalam kalangan petugas mendapat jangkitan melalui komuniti.

"Sebagai langkah pencegahan, pihak pengurusan hospital telah melakukan banyak usaha dan inisiatif untuk memutuskan rantaian atau memastikan tiada jangkitan COVID-19 di tempat kerja," katanya.

Dalam pada itu, mengulas isu kekurangan aset pula, Dr Mohamed Sapian berkata, pihaknya menambah beberapa fasiliti kesihatan seperti PKRC, Wad COVID-19, dan katil ICU di Hospital Sibu.

Katanya, secara keseluruhan, Hospital Sibu telah menerima peruntukan pembelian aset sebanyak RM9.4 juta untuk tahun 2021 daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi tujuan melengkapkan kemudahan di Wad ICU, Wad COVID-19 dan PKRC agar rawatan pesakit COVID-19 sentiasa terjamin.

"Bagi kes pembedahan elektif yang tertangguh, pihak pengurusan hospital telah melaksanakan kaedah secara penyumberluaran dengan menghantar pesakit ke hospital swasta di Sibu. Setakat ini, peruntukan sebanyak RM2.3 juta telah digunakan bagi pelaksanaan penyumberluaran sejumlah 832 kes melibatkan kes-kes Ortopedik, Pembedahan Am, Oftalmologi, Otorinolaringologi, Obstetrik dan Ginekologi serta Radiologi.

"Malah, Hospital Sibu baru sahaja menerima peruntukan tambahan sebanyak RM600,000 pada 27 September 2021 bagi tujuan penyumberluaran dalam usaha mengurangkan beban menguruskan pesakit bukan COVID di Hospital Sibu," katanya.

Dr Mohamed Sapian turut memaklumkan, Hospital Sibu dilengkapi dengan sistem VIE berkapasiti 20,000 liter oksigen yang mampu membekalkan keperluan oksigen ke wad-wad di hospital tersebut.

Di samping itu, Hospital Sibu mempunyai 296 silinder oksigen dan 76 silinder oksigen sewaan serta bakal menerima 40 silinder oksigen tambahan bersaiz besar yang dibekalkan oleh pihak KKM.