KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Rawatan Pemulihan Dadah Daerah (JKPD), Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) dan Mentor Kepulihan yang dibentuk Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menjadi kelompok terpenting dalam membantu dan membimbing klien dalam kepulihan.

Ketua Pengarah AADK, Sutekno Ahmad Belon berkata, selain itu, kelompok berkenaan turut menjadi ejen perubahan kepada masyarakat setempat dalam usaha membantu mendapatkan peluang-peluang pekerjaan atau ruang-ruang latihan, menyertai aktiviti-aktiviti rawatan pemulihan serta berperanan sebagai 'role model' dan sukarelawan yang mempromosikan perkhidmatan rawatan pemulihan kepada komuniti.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada kumpulan berkenaan untuk melaksanakan kerja-kerja sukarela dalam bidang rawatan pemulihan dadah agar dapat mengatur strategi bagi membantu mencegah penagihan semula serta mengekang penagihan dadah dalam komuniti melalui pendekatan-pendekatan terkini, mesra dan berkesan.

“Kelompok sokongan ini merupakan komponen yang penting kerana di Negeri Sembilan pegawai AADK hanya meliputi  0.00016 peratus iaitu seramai 200 orang berbanding keseluruhan penduduk Negeri Sembilan iaitu 1.2 juta orang, dan hanya terdapat seramai 60 pegawai pemulihan berbanding keseluruhan klien rawatan pemulihan dalam komuniti di Negeri Sembilan berjumlah 1,919 klien iaitu nisbah 1:32.

“Khidmat kelompok ini amatlah diperlukan agar dapat membantu klien yang terjejas secara langsung dan tidak langsung serta memastikan semua kumpulan sasar  merasai perkhidmatan AADK,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Simposium dan Graduasi Kepulihan Peringkat Negeri Sembilan di Seremban pada Selasa.

Turut hadir Pengarah AADK Negeri Sembilan, Dr Hadijah Baba; Ahli Dewan Undangan (ADUN) Gemencheh, Suhaimizan Bizar dan Pengarah Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Jelebu, Arzmi Abdullah.

Mengulas lanjut, Sutekno berkata, program berkenaan adalah simbolik dan pengiktirafan kepada individu dan kumpulan yang sangat aktif menggerakkan program-program rawatan pemulihan dalam komuniti di Negeri dan Daerah.

“Ucapan penghargaan dan terima kasih saya ucapkan atas jasa dan sumbangan dalam membantu, memberi motivasi dan menyokong semua usaha merawat dan memulihkan klien di negeri dan daerah.

“Tanpa kelompok sokongan ini, AADK amat sukar untuk bergerak sendiri,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menambah peranan institusi keluarga sebagai tempat rujukan pertama klien dalam kepulihan perlu diberi perhatian semua pihak.

Ujarnya, keluarga perlu sentiasa cakna dengan perubahan tingkah laku, emosi dan pemikiran ahli keluarga agar dapat mengambil langkah awal untuk mencegah aktiviti penagihan dadah di rumah.

“Pada semua ahli keluarga yang hadir, saya menyeru agar sentiasa memberi sokongan dan galakan kepada klien untuk mengubah cara hidup kepada gaya hidup yang baru, sihat serta membina,” katanya.