KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pilihan Khas Kesejahteraan Rakyat (JKPK KSj) Dewan Negara mengesyorkan akta-akta sedia ditambah baik atau diwujudkan akta baharu supaya hukuman lebih berat dapat dikenakan ke atas penjenayah penipuan atau 'scammer'.

Pengerusi jawatankuasa berkenaan Senator Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata ia melibatkan Kanun Keseksaan, Kanun Prosedur Jenayah, Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, Akta Keterangan 1950, Akta Jenayah Komputer 1997 dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

Beliau berkata jawatankuasa itu turut mengesyorkan supaya Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) memainkan peranan merangka satu garis panduan yang jelas berkaitan tanggungjawab syarikat-syarikat yang mengumpul, memproses data dan maklumat peribadi pengguna.

"Kementerian Kewangan (MOF) juga perlu meningkatkan jumlah peruntukan untuk melaksanakan audit keselamatan terhadap infrastruktur dan sistem teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta menaik taraf sistem keselamatan siber negara dan aplikasi-aplikasi kerajaan," katanya pada sidang media di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Beliau berkata selain itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga perlu menambah baik fasiliti dan menaik taraf teknologi yang digunakan bagi melancarkan proses siasatan sekali gus meningkatkan kadar tangkapan dan pendakwaan.

"Kementerian seperti KDN, KKD serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta agensi berkaitan harus memperkukuh kerjasama dan penyelarasan dalam melaksanakan undang-undang untuk membanteras kegiatan jenayah penipuan," katanya.

Syor-syor berkenaan adalah hasil daripada dapatan Penyata JKPK KSj bertajuk 'Majlis Dewan Negara: Penipuan Dalam Talian: Jenayah Komersial Utama Negara' yang mendapati kes jenayah siber menunjukkan trend meningkat sepanjang tempoh empat tahun lepas dengan jumlah kerugian mencecah hampir RM500 juta setiap tahun.

-- BERNAMA