MALAYSIA
JKSM tambah pindaan penguatkuasaan pastikan bapa tidak culas bayar nafkah anak

Mohd Amran berkata pendekatan tersebut memberi mesej yang jelas bahawa keputusan Mahkamah Syariah adalah bersifat wajib dan perlu dipatuhi semua pihak. - Gambar Facebook JKSM
BALIK PULAU: Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) mengambil beberapa langkah dan pindaan penguatkuasaan perintah nafkah bagi memastikan urusan pembayaran nafkah anak oleh bapa selepas penceraian dapat diselesaikan dengan lebih berkesan khususnya melibatkan aspek harta serta kewangan.
Ketua Pengarah dan Ketua Hakim Syarie JKSM Datuk Mohd Amran Mat Zain berkata pindaan itu bertujuan memastikan bapa tidak culas membayar nafkah kepada anak yang sememangnya menjadi tanggungjawab mereka.
"Apabila masuk ke peringkat penguatkuasaan, terdapat beberapa kaedah yang dikenal pasti bagi memudahkan pelaksanaan perintah mahkamah terhadap bapa yang culas membayar nafkah terhadap anak mereka selepas proses penceraian.
"Jika sebelum ini ada pihak yang dapat melepaskan diri daripada tanggungjawab tersebut, kini kita telah memperkenalkan mekanisme seperti sekatan terhadap pendapatan, pelaksanaan prosedur hiwalah (pemindahan hutang daripada Penghutang Penghakiman kepada pihak ketiga iaitu institusi kewangan kepada Pemiutang Penghakiman), pengubahsuaian melalui institusi kewangan dan pembekuan aset untuk disalurkan semula," katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Literasi Syariah MADANI 2025 di Masjid Daerah Barat Daya di sini yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri I Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid.
Mengulas lanjut, Mohd Amran berkata pendekatan tersebut bukan sahaja bertujuan memudahkan penguatkuasaan perintah mahkamah malah memberi mesej yang jelas bahawa keputusan Mahkamah Syariah adalah bersifat wajib dan perlu dipatuhi semua pihak.
Beliau berkata bagi memperkukuh pelaksanaan di peringkat lapangan, JKSM turut mempunyai pasukan khas seperti Bahagian Sokongan Keluarga yang berperanan mengesan pihak yang gagal mematuhi perintah mahkamah dan membantu memastikan perintah itu dilaksanakan dengan berkesan.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa usaha meningkatkan kesedaran masyarakat adalah penting kerana masih ramai yang tidak mengetahui bahawa mereka mempunyai hak yang boleh dituntut di bawah perundangan syariah.
Katanya program literasi perundangan syariah yang dijalankan di seluruh negara perlu diteruskan dan diperluas agar masyarakat lebih celik tentang ruang, peluang serta kaedah yang tersedia bagi menuntut hak mereka khususnya dalam isu nafkah anak.
Terdahulu dalam ucapannya, Mohd Amran berkata Program Literasi Syariah MADANI 2025 dilaksanakan bagi menyampaikan ilmu dan kefahaman mengenai undang-undang syariah secara langsung kepada masyarakat khususnya di kawasan luar bandar sekali gus meningkatkan kesedaran masyarakat tentang hak serta tanggungjawab mereka sebagai umat Islam di bawah sistem perundangan syariah.
Beliau berkata pogram tiga hari bermula semalam itu juga untuk membangunkan hubungan akrab antara institusi kehakiman syariah dengan masyarakat agar Mahkamah Syariah tidak lagi dilihat sebagai tempat untuk menghukum semata-mata tetapi sebagai institusi yang menyantuni, menyelesaikan pertikaian dan memberikan keadilan sepenuhnya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami