JLKN tambah baik sistem, pastikan isu kesesakan tidak berulang

Ya'cob berkata, antara langkah itu ialah pengesahan kehadiran dan sistem menunggu digital yang membolehkan data kehadiran diperoleh secara tepat pada masa nyata. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) akan melakukan beberapa penambahbaikan bagi memastikan isu kehadiran pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) melebihi kapasiti maksimum pusat latihan tidak berulang.
Ketua Pengarah JLKN, Datuk Ya'cob Samiran berkata, antara langkah itu ialah pengesahan kehadiran dan sistem menunggu digital yang membolehkan data kehadiran diperoleh secara tepat pada masa nyata.
Selain itu, calon juga akan dipilih secara automatik oleh sistem jika berlaku kekosongan.
"Tiada lagi jumpa terus (walk-in) secara siapa cepat dia dapat. JLKN juga akan melakukan pendaftaran secara berperingkat, waktu lapor diri mengikut slot masa agar tidak berlaku kesesakan di pintu masuk," katanya menerusi klip video dimuat naik di laman sosial JLKN pada Rabu.
Pada 17 Jan, JLKN memaklumkan, pendaftaran sebahagian pelatih PLKN Siri 1/2026 di Kem Latihan Khidmat Negara 505 Askar Wataniah (AW) Pekan, Pahang ditangguhkan susulan kehadiran pelatih melebihi kapasiti maksimum pusat latihan itu.
Sehubungan itu, Ya'cob berkata, calon pelatih yang terpaksa pulang pada hari itu layak menerima elaun perjalanan mengikut kadar dan syarat ditetapkan seperti pelatih siri tersebut.
Beliau turut memberi jaminan pelatih yang terpaksa pulang itu akan diberikan keutamaan pada pengambilan siri 2/2026.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


