KUALA LUMPUR: Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) mengenal pasti sejumlah 221 cerun kritikal yang perlu diberi perhatian khususnya ketika musim monsun melanda.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata insiden menyayat hati yang mengorbankan 31 nyawa di Batang Kali pada Disember lepas, boleh dielakkan jika semua pihak mengambil serius pembangunan sesebuah kawasan dengan memastikan tapak yang hendak dibangunkan dalam keadaan stabil, selamat dan tidak berisiko bencana geologi seperti tanah runtuh.

"Selain itu, kejadian aliran puing yang telah beberapa kali berulang juga perlu diberikan perhatian," katanya dalam perutusan sempena Hari Ahli Geologi Sedunia 2023 yang disambut hari ini.

Justeru, katanya ahli geologi dimohon untuk sentiasa cakna memastikan penduduk yang terdedah kepada bencana geologi ini diberikan cukup pengetahuan agar insiden tidak diingini dapat dielakkan jika berlaku banjir atau aliran puing di masa akan datang.

Nik Nazmi berkata semasa bencana di Batang Kali itu, beliau dapat melihat dan merasakan sendiri selain menjadi saksi akan tugasan yang dilakukan oleh JMG.

"Saya amat kagum dengan peranan yang ditunjukkan oleh ahli-ahli geologi. Mereka antara yang pertama ke tapak bencana menganalisis tapak dan pergerakan tanah runtuh tersebut, mereka juga yang mengkaji dan faham akan punca kejadian tersebut," katanya.

Menyifatkan ahli geologi di Malaysia antara ahli profesional yang terawal dalam membantu pembangunan negara, beliau turut menggalakkan golongan itu agar meneroka sumber tenaga boleh diperbaharui seperti geoterma bagi membantu industri Perlombongan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE).

Katanya usaha itu perlu kerana industri perlombongan NR-REE kini sedang giat dibangunkan dengan beberapa kawasan dikenal pasti berpotensi menjanjikan pulangan baik kepada ekonomi negara.

Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata JMG terlibat secara langsung dalam merangka Pelan Strategik Air Tanah 2021-2040 bagi menyokong agenda Transformasi Sektor Air 2040 (WST 2040).

Katanya penglibatan itu adalah untuk memastikan sumber bekalan air negara terus dalam keadaan mampan melalui kajian ke atas sumber air bawah tanah yang berterusan yang boleh digunakan secara konjungtif.

"Kementerian juga sedang giat membangunkan Pelan Pembangunan dan Pelaksanaan Geopark Negara agar pembangunan geopark di Malaysia dilaksanakan secara terkawal dan lestari. Begitu juga dalam memastikan kejadian bencana geologi dapat dipantau dan dikawal.

"Kementerian terlibat secara langsung dalam Arahan No. 20 (Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara) termasuk antaranya melaksanakan Program Pengurusan Bencana Berasaskan Komuniti bagi mengurangkan risiko ancaman bencana geologi sama ada kehilangan nyawa atau harta benda," katanya.

-- BERNAMA