KUALA LUMPUR: Datuk Johan Mahmood @ Johan Mahmood Merican dilantik sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan berkuat kuasa hari ini, 27 Feb 2023.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam satu kenyataan mengumumkan, pelantikan Johan diperkenankan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Jelasnya, pelantikan itu dibuat berdasarkan kelayakan, ciri-ciri kepimpinan dan pengalaman luas Johan sepanjang memegang beberapa jawatan dalam bidang ekonomi, kewangan dan dasar.

Beliau turut yakin Johan berupaya menggalas amanah serta mendokong misi dan visi dalam meneruskan kecemerlangan pengurusan kewangan dan ekonomi negara dengan cekap, telus dan berkesan, selari dengan hasrat Malaysia MADANI.

Johan, 50 tahun, merupakan lulusan kelas pertama University of Cambridge serta akauntan bertauliah dari Institute of Chartered Accountants in England dan Wales (ICAEW).

Beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Talent Corporation Malaysia Berhad (Talent Corp), Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dan Pengarah Belanjawan Negara, Kementerian Kewangan.

Jawatan terakhir beliau adalah sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar), Kementerian Kewangan.

Sementara itu, Datuk Zulkapli Mohamed diumumkan sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkuat kuasa hari ini.

Zulkapli, 58 tahun, berkelulusan ljazah Sarjana Muda Sains Sosial (Kepujian) dari Universiti Sains Malaysia, Ijazah Sarjana Pembangunan Antarabangsa dari University of Japan dan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Ekonomi (Kewangan Antarabangsa) dari Universiti Meiji, Jepun.

Menurut Mohd Zuki dalam satu kenyataan berasingan, pelantikan Zulkapli turut diperkenan Seri Paduka Baginda.

Beliau telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 31 tahun dengan jawatan pertama sebagai Penolong Setiausaha di Bahagian Latihan, Jabatan Perkhidmatan Awam pada 1 Dis 1992.

"Pelantikan ini berdasarkan pengalaman luas beliau dalam pelbagai bidang termasuk dasar, pengurusan dan perkhidmatan, pembangunan modal insan serta pernah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Jabatan Perkhidmatan Awam.

"Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di Solid Waste and Public Cleansing Management Corporation (SWCorp), dan Setiausaha Persekutuan Sabah di Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah.

"Saya yakin dengan pengetahuan dan kredibiliti yang dimiliki oleh Zulkapli, mampu menggalas amanah dan tanggungjawab dalam menyokong usaha serta memastikan pembaharuan sektor awam selari dengan aspirasi Malaysia MADANI," kata Mohd Zuki lagi.