JOHOR BAHRU: Kerajaan Negeri Johor melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri akan terus memantau dan mengaudit semua pusat jagaan kanak-kanak di seluruh negeri itu.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata tumpuan khas akan diberikan kepada pusat jagaan kanak-kanak istimewa.

"Menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Tunku Mahkota Johor (Tunku Ismail Sultan Ibrahim). Kerajaan Negeri Johor memandang serius kes-kes penderaan, keganasan atau eksploitasi kanak-kanak di mana-mana pusat jagaan kanak-kanak di Johor.

"Saya akan memastikan kerajaan negeri melalui JKM negeri memantau dan membuat audit ke atas semua pusat jagaan kanak-kanak di seluruh Johor," katanya dalam hantaran di laman Facebooknya hari ini.

BACA: Kes Bella: Mahkamah benarkan empat peguam lantikan TMJ ikuti prosiding kes

Beliau turut berharap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi lain yang terlibat, dapat memberi kerjasama penuh bagi memastikan semua pusat jagaan kanak-kanak di negeri ini beroperasi secara sah dan kanak-kanak di pusat-pusat tersebut dijaga dengan baik.

Kes Bella | TMJ kemuka tiga cadangan


Semalam, Tunku Ismail berkenan mengemukakan tiga cadangan kepada kerajaan bagi memastikan kes penderaan seperti kes Bella tidak lagi berulang.

Baginda menerusi pertemuan dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun di Royal Johor Polo Club di sini, bertitah mencadangkan kerajaan agar menambah baik dengan segera undang-undang seperti Akta Kanak-Kanak 2001.



Kes Bella meraih perhatian masyarakat sejak tular di media sosial tahun lepas, selepas seorang wanita mendakwa remaja perempuan itu disimbah dengan air panas dan diikat ketika berada di bawah jagaan Rumah Bonda, sebuah rumah kebajikan NGO.

Susulan itu, pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali, 30, didakwa atas dua pertuduhan mengabaikan serta mendera remaja berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju, Kuala Lumpur antara Februari dan Jun 2021.

-- BERNAMA