JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor akan menganjurkan beberapa acara bertaraf antarabangsa tahun ini dalam menjadikan negeri itu sebagai destinasi pelancongan sukan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Hairi Mad Shah berkata, antara acara yang dirancang termasuk sukan lasak Ironman di Desaru, Kota Tinggi pada bulan ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga bercadang menganjurkan acara berbasikal bertaraf antarabangsa menerusi Majlis Sukan Negeri Johor dan KPRJ Sports.

"Kita juga akan menganjurkan Johor Marathon bagi 21 kilometer pada Ogos ini yang diadakan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Johor Bahru dan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri," katanya kepada pemberita selepas melepaskan peserta Larian Amal Pergerakan Pemuda Malaysia (YMM) Johor ke-10, di sini, pada Rabu.

Turut hadir Presiden YMM, Brevia Pan Woon Shien.

Mohd Hairi berkata, acara sukan berkenaan diharapkan dapat menarik kedatangan pelancong dan membantu meningkatkan ekonomi di Johor.

Terdahulu, Larian Amal YMM yang disertai kira-kira 1,000 peserta itu berjaya mengumpul yuran penyertaan berjumlah RM48,000 yang akan digunakan bagi aktiviti amal di sekitar Johor serta program latihan sukarelawan. - BERNAMA