JOHOR BAHRU: Johor mencatatkan pelaburan paling tinggi dalam negara bagi tempoh Januari sehingga Jun tahun ini iaitu sebanyak RM60.9 bilion, sekali gus menjadi pelaburan yang tertinggi pernah dicatatkan oleh negeri ini.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata pelaburan tersebut merupakan peningkatan sebanyak 822 peratus daripada RM6.6 bilion pada tempoh yang sama tahun lepas.

"Insya-Allah, apa yang dicapai membuktikan Johor mampu menarik pelaburan berteknologi tinggi dan berkualiti, sekali gus meningkatkan lagi ekonomi negeri ke tahap yang lebih tinggi.

"Menjunjung Kasih kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang sentiasa menasihati kerajaan untuk memberi fokus kepada ekonomi negeri demi kemakmuran rakyat Johor," katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook beliau semalam.

Untuk rekod, Johor mencatatkan pelaburan tahunan sebanyak RM12.3 bilion pada tahun lepas; RM11.9 bilion pada 2020 dan RM24.5 bilion pada 2019.

Onn Hafiz berkata sektor perkhidmatan merupakan penyumbang terbesar dengan pelaburan sebanyak RM54.2 bilion, susulan kehadiran firma pusat data yang berpangkalan di luar negara ke negeri itu.

Selain itu, katanya, sektor perkilangan juga masih dapat menarik pelaburan luar yang memberangsangkan iaitu sebanyak RM6.7 bilion.

"Kesemua pelaburan ini yang disahkan bagi tempoh separuh tahun ini akan menyumbang kepada peluang pekerjaan baharu dan akan melihatkan kesan pengganda yang ketara di dalam negeri.

"Dengan memberi tumpuan terhadap penyediaan infrastruktur asas dan insentif pelaburan yang menarik, usaha kita untuk mengekalkan hubungan luar dan memastikan kelangsungan perniagaan turut memberikan keyakinan kepada mereka," katanya.

Onn Hafiz berkata kerajaan negeri dengan kerjasama kerajaan pusat akan terus bekerja keras untuk mengekalkan prestasi itu dan mengenal pasti serta menarik lebih banyak pelaburan berkualiti serta berimpak tinggi untuk bertapak di Johor.

"Ini penting kerana dengan keadaan geopolitik dunia kini, dana pelaburan yang konsisten akan menjadi penampan ekonomi dan membantu Johor mengemudi masa-masa yang tidak menentu. Ini sekali gus dapat menjamin kelangsungan hidup dan kesejahteraan rakyat pada masa akan datang," kata beliau.

Terdahulu, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam satu kenyataan berkata Malaysia telah berjaya menarik pelaburan yang diluluskan bernilai RM123.3 bilion dalam sektor utama, perkilangan dan perkhidmatan merangkumi 1,714 projek dari Januari hingga Jun 2022.

MIDA berkata Johor merupakan antara lima negeri utama selain Selangor, Sabah, Kedah dan Pulau Pinang yang menyumbang RM103.5 bilion (AS$23.5 bilion) atau 83.9 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan.

-- BERNAMA