BATU PAHAT: Imam, bilal dan jemaah masjid di Johor digalakkan mengambil suntikan dos penggalak susulan peningkatan kes COVID-19 ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Mohd Fared Mohd Khalid berkata langkah itu bagi menyekat penularan wabak itu sekali gus menyokong saranan Kementerian Kesihatan (KKM) yang menggalakkan pengambilan dos penggalak ketiga vaksin COVID-19.

Beliau berkata tindakan menyekat penularan wabak berkenaan tidak hanya tertumpu kepada kumpulan tertentu sahaja sebaliknya perlu dilakukan semua pihak.

"Sebabnya jika golongan tertentu seperti hanya imam dan bilal yang ambil suntikan ini tetapi jemaah tidak, itu yang merisaukan kita.

"Bagaimanapun, bagi mereka yang ingin mengambil suntikan berkenaan perlulah terlebih dahulu mendapatkan nasihat doktor mengenai status kesihatan masing-masing," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan penyerahan Projek Skim Perumahan Asnaf, Projek Baiti Jannati Wakalah Zakat Perniagaan JCorp di Kampung Peserai Kecil di sini, semalam.

Isnin lepas, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri Ling Tian Soon berkata kes COVID-19 di Johor menunjukkan peningkatan mendadak dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini, dengan 401,886 kes dilaporkan sehingga Sabtu (16 Dis).

Sementara itu, berhubung Projek Baiti Jannati Wakalah Zakat Perniagaan JCorp yang diuruskan Waqaf An-Nur Corp Berhad, untuk tahun ini Mohd Fared berkata sebanyak 25 buah rumah telah dibina untuk mereka yang layak.

Katanya, rumah yang dibina di tanah berkeluasan 660 kaki persegi itu merangkumi ruang tamu, dapur, tiga bilik tidur dan dua bilik air dengan jumlah kos antara RM75,000 hingga RM95,000.

"Bagi program ini, ia tidak hanya tertumpu pembinaan rumah sahaja malah baik pulih rumah juga dilakukan kepada golongan memerlukan (Asnaf).

"Tidak tertumpu di situ sahaja, duit zakat ini juga disalurkan untuk sumbangan tuisyen kepada anak-anak asnaf, dana Klinik Waqaf An-Nur (KWAN), bakul makanan, baik pulih masjid dan juga sekolah," katanya.

-- BERNAMA