PM Modi diberi sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra

Modi, yang sedang dalam lawatan rasmi dua hari ke Malaysia, diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya, hari ini. --fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Perdana Menteri India Narendra Modi, yang tiba di ibu negara semalam, diberi sambutan rasmi sebagai tetamu negara di Kompleks Perdana Putra, di sini, hari ini.
Modi, yang dalam lawatan rasmi dua hari ke Malaysia, tiba di kompleks sekitar jam 9 pagi, dan disambut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sejurus kemudian, majlis sambutan bermula secara rasmi dengan dendangan lagu kebangsaan masing-masing, ‘Jana Gana Mana’ dan ‘Negaraku’.
Pemimpin Bharatiya Janata Party itu kemudian diberi penghormatan untuk memeriksa kawalan kehormatan yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (Istiadat) yang diketuai oleh Mejar Muhamad Nur Addeen Mustaza, manakala pancaragam diketuai Kapten (Dom) Mohd Fahmy Harun daripada Pancaragam Pusat Rejimen Renjer Diraja.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, serta anggota Kabinet, diplomat asing dan pegawai kanan kerajaan.
Selepas upacara sambutan, Modi menandatangani buku pelawat sebelum menghadiri mesyuarat dua hala bersama Anwar di Kompleks Seri Perdana, diikuti majlis jamuan tengah hari.
Wisma Putra dalam siaran media memaklumlan, isu-isu hubungan dua hala serta mempelopori peluang kerjasama antara Malaysia dan India, khususnya dalam sektor perdagangan dan pelaburan; pertahanan dan keselamatan; tenaga kerja; pelancongan; kesalinghubungan; pertanian; dan pendidikan.
Selain itu ia berkata, perbincangan juga akan merangkumi isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
Kedua-dua Perdana Menteri kemudian akan menyaksikan pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang pembanterasan dan pencegahan rasuah; pengurusan bencana; Perjanjian mengenai penerbitan audio visual; Memorandum Kerjasama (MoC) dalam bidang tenaga kerja; dancPertukaran Nota (EoN) dalam bidang semikonduktor.
Selain itu, kesihatan; keselamatan negara; dan pendidikan serta latihan teknikal dan vokasional (TVET), Pertukaran Surat (EoL) mengenai kerjasama pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan penyerahan Perjanjian Rangka Kerja International Big Cats Alliance (IBCA).
Pada 2025, jumlah perdagangan antara Malaysia dan India mencapai RM79.49 bilion (USD18.59 bilion).
Jumlah eksport Malaysia ke India berjumlah RM52.30 bilion (USD12.24 bilion) manakala import berjumlah RM27.19 bilion (USD6.35 bilion).
Barangan eksport utama merangkumi minyak sawit dan produk pertanian berasaskan sawit; dan produk elektrikal dan elektronik; manakala import dari India terdiri daripada produk pertanian; produk petroleum; dan produk kimia. India merupakan rakan dagang terbesar bagi Malaysia di rantau Asia Selatan.
“Lawatan ini dijangka memperkukuh lagi hubungan dua hala serta memupuk kerjasama yang lebih erat dalam pelbagai bidang yang berkepentingan bersama, berteraskan asas persahabatan yang kukuh sejak terjalinnya hubungan diplomatik pada tahun 1957.
“Selain itu, ia turut berlandaskan kepada peningkatan hubungan dua hala yang telah dinaik taraf ke tahap Perkongsian Strategik Komprehensif (Comprehensive Stategic Partnership – CSP) pada Ogos 2024,” menurut kementerian lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


