KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Johor mengesan tindakan eksploitasi yang dibuat terhadap Orang Asli di negeri itu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab demi kepentingan peribadi.

Menurut Menteri Besarnya, Datuk Onn Hafiz Ghazi, antara eksplotasi terhadap Orang Asli yang dikesan ialah penerokaan secara tidak sah tanah-tanah rizab Orang Asli di Johor yang dibangunkan untuk tujuan komersial.

Katanya, Orang Asli turut digunakan sebagai jurupandu untuk memburu hidupan liar yang dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar.

Malah, tegasnya, terdapat juga Orang Asli digunakan untuk mengekstradisi hasil hutan secara haram seperti kayu gaharu dan logam-logam bernilai.

"Kerajaan Negeri sangat peka dan prihatin terhadap eksploitasi yang dilakukan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab ini kepada Orang Asli di Negeri Johor.

"Kerajaan Negeri ingatkan bahawa kita mempunyai undang-undang yang akan terus digunakan untuk melindungi mereka dan antara undang-undang yang digunapakai adalah Akta Orang Asli 1954 (Akta 134, Enakmen Tanah Kesultanan 1934, Kanun Tanah Negara (Akta 828), Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan Kaedah-kaedah Tanah Johor 1966," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, pada Rabu.

Mengulas lanjut, Onn Hafiz berkata, Kerajaan Negeri menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bahawa semua kawasan penempatan dan rizab Orang Asli diletakkan di bawah “Sultanate Land” supaya tidak ada mana-mana pihak yang boleh berbuat sesuka hati.

Untuk pengetahuan semua, jelas beliau, mana-mana kawasan yang telah diwartakan sebagai “Sultanate Land” bukanlah bermaksud tanah itu milik peribadi Sultan, tetapi tanah itu dilindungi oleh Sultan supaya tidak ada mana-mana pihak yang mengambil kesempatan atau menyalahgunakan tanah rizab tersebut.

"Tuanku adalah custodian kepada tanah rizab ini bagi terus menjaga hak dan kepentingan Orang Asli di Negeri Johor dan Orang Asli Johor boleh menggunakan dan menikmati hasil hutan seperti yang termaktub dalam Akta Orang Asli 1954.

"Sejarah telah membuktikan bahawa semenjak pemerintahan Almarhum Sultan Abu Bakar lagi dan sebelum wujudnya Akta Orang Asli 1954, kedudukan dan penempatan Orang Asli di Negeri Johor telah dijaga dan dibela oleh Kesultanan Johor," ujarnya.

Sehubungan itu, Onn Hafiz berharap tiada mana-mana pihak yang cuba mempertikaikan dan mengelirukan Orang Asli.

"Janganlah menangguk di air yang keruh dan memutarbelitkan hasrat murni Kerajaan Negeri ini.

"Jika ada mana-mana pihak memerlukan penjelasan dan maklumat yang lebih terperinci boleh berhubung dengan pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Johor," tegas Menteri Besar lagi.