Kerajaan Negeri Johor mahu membanteras semua unsur rasuah dan penipuan dalam urus tadbirnya bagi memastikan Gagasan Johor Berkemajuan dapat dicapai.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata komitmen itu ditunjukkan kerajaan negeri dengan memberi kerjasama dalam kes penahanan seorang exco dan tangkapan anggota sindiket berkaitan di Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor baru-baru ini.

Beliau berkata kedua-dua kes itu sepatutnya menjadi pengajaran kepada semua pihak supaya sentiasa melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka dengan sebaik mungkin.

"Ini adalah peringatan kepada semua bahawa dalam zaman ini, banyak mata yang memandang. Mereka yang diberikan amanah oleh rakyat perlu melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan sebaik mungkin... apa pun (kesalahan) yang kita lakukan, kita tidak akan terlepas," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Parlimen Simpang Renggam di Kampung Paya, Kluang di sini, hari ini.

Mohamed Khaled berkata beliau percaya pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempunyai maklumat yang lebih lengkap bagi menjalankan siasatan kes itu.

Exco terbabit, yang kini bercuti daripada portfolionya, ditahan di pejabat SPRM di sini pada 9 Mac lepas bagi membantu siasatan berhubung skandal rasuah serta penyelewengan hartanah di negeri ini.

Selain menahannya, SPRM turut menggeledah rumah exco terbabit dan merampas wang tunai sebanyak RM41,000, sebuah kenderaan jenis Toyota Vellfire dan 150 beg tangan pelbagai jenama.

Sebelum itu, polis menahan tiga individu termasuk seorang bekas pembantu tabdir di sebuah PTG di sini berhubung penipuan pindah milik tanah menggunakan kekerasan dua tahun lepas.

Mereka yang berusia di antara 38 dan 50 tahun sedang ditahan reman selama 21 hari bermula 7 Mac lepas.

--BERNAMA