JOHOR BAHRU: Johor memperuntukkan RM40 juta bagi tujuan pembelian vaksin COVID-19 dengan kerjasama Kumpulan Perubatan Johor (KPJ).

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohamad berkata, pembelian itu merupakan fokus pertama pemerkasaan pandemik negeri ini daripada sebahagian Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0 yang memperuntukkan RM241 juta yang diumumkan pada Khamis.

"Kerajaan negeri bercadang untuk membeli vaksin COVID-19 bagi membolehkan rakyat di negeri ini mendapatkan bekalan vaksin, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan KPJ. Inisiatif ini akan membolehkan pihak KPJ menjual vaksin kepada mereka yang memerlukan,” kata beliau pada pembentangan PRE Ihsan Johor 3.0 secara dalam talian.

Selain itu, bagi menyokong usaha ujian saringan bersasar, Johor juga akan membeli COVID Test Kit RTK Antigen sebanyak 190,000 unit yang akan dilaksanakan secara bersama oleh pejabat Setiausaha Kerajaan Bahagian Khidmat Pengurusan (SUK BKP) dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor.

Bahkan, kata beliau, tiga Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bertaraf bandar raya iaitu Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) akan turut membeli COVID Test Kit RTK Antigen yang mana inisiatif ini bakal memanfaatkan hampir 60,000 orang.

Jelas Hasni, kerajaan negeri akan terus membiayai perbelanjaan operasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), sekatan jalan raya (SJR) dan membiayai kebajikan frontliners.

Inisiatif ini, kata beliau, akan diselaraskan oleh SUK BKP dan semua pejabat daerah yang merangkumi elaun, penyediaan makanan dan kelengkapan berkaitan yang melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM20 juta dan akan terus dilaksanakan hingga akhir tahun ini.

Kerajaan negeri, menurut Hasni, memperuntukkan RM75 juta untuk tujuan melaksanakan empat inisiatif terbabit.

Sementara RM550.95 juta, kata beliau, bagi kesemua PRE yang disediakan bagi manfaat 1.5 juta penerima di negeri ini yang membabitkan RM167.33 juta (PRE Ihsan Johor 1.0), RM109.48 juta (PRE Ihsan Johor 2.0) dan RM241 juta (PRE Ihsan Johor 3.0).