PONTIAN: Kerajaan Negeri Johor bersetuju memberi diskaun sebanyak 80 peratus bagi pembayaran premium tanah, yang bernilai RM1.6 juta, melibatkan perpindahan penduduk Kampung Sri Tanjung dan Kampung Nelayan Benut ke Kampung Parit Makuaseng, Benut di sini.

Perkara itu diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), ketika berucap di Majlis Rumah Terbuka UMNO Bahagian Pontian di Benut hari ini.

"Saya sempat 'berbisik' dari jauh dengan Menteri Besar (MB) Johor tentang premium tanah tadi untuk diskaun 80 peratus yang nilainya RM1.6 juta. Atas baik hatinya MB, kerajaan negeri akan beri diskaun 80 peratus," katanya.

Terdahulu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Seri Ahmad Maslan dalam ucapannya menyampaikan permintaan untuk mengurangkan pembayaran premium tanah yang turut dimohon oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Benut Datuk Seri Hasni Mohammad.

"Premiumnya RM2 juta, tetapi orang kampung nelayan tidak ada duit untuk bayar... maka Datuk Seri Hasni ada sebut jika boleh, kurangkan 80 peratus jadi 20 peratus sahaja orang kampung bayar iaitu RM400,000... Projek itu di bawah KKDW, jadi apalah kiranya Menteri KKDW berikan satu lagi peruntukan, jadi boleh segera pindahkan rakyat ke situ," katanya.

Ahli Parlimen Pontian itu turut memohon peruntukan RM1.5 juta bagi pembinaan masjid baharu di Parit Haji Ariff yang segera diluluskan oleh Ahmad Zahid.

Timbalan Perdana Menteri turut meninjau Projek Pemajuan Kawasan Kampung Parit Makuaseng dan mendengar taklimat berhubung projek itu daripada Ketua Penolong Setiausaha KKDW Tengku Muhammad Fariza Engku Muhammad Din.

Sebanyak 170 unit rumah dibina bagi projek penempatan semula mangsa banjir, air pasang dan setinggan nelayan di Sungai Benut dan Sungai Pinggan serta golongan miskin tegar sekitar Benut.

Projek pembangunan di tanah kerajaan negeri milik Perbadanan Setiausaha Kerajaan Johor berkeluasan 30 ekar itu telah bermula pada 16 Mei 2017 dan siap dalam bulan Ogos 2022.

Projek itu, yang bernilai kira-kira RM41.5 juta, melibatkan pembangunan rumah berkembar dengan infrastruktur asas termasuk jalan, bekalan air, bekalan elektrik dan sistem rawatan kumbahan selain kemudahan seperti dewan, surau, tadika serta gerai.

-- BERNAMA