SINGAPURA: Johor dan Singapura bersetuju untuk meneliti pelbagai kaedah kaedah yang boleh diterokai bersama dalam meningkatkan kesalinghubungan berikutan hampir 300,000 orang menggunakan Tambak Johor setiap hari, kata Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Onn Hafiz ketika ini dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Singapura bermula Ahad (12 Feb) yang bertujuan untuk meningkatkan lagi hubungan baik di antara republik itu dengan negeri Johor.

Menerusi satu catatan di laman Facebook rasminya hari ini, Menteri Besar itu berkata beliau telah memulakan hari keduanya di sini dengan mengadakan sesi pertemuan dan perbincangan dengan Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Kedua Singapura, Dr Maliki Osman.

"Pelbagai perkara yang telah dibincangkan dalam kesempatan yang ada, khususnya isu melibatkan hubungan dua hala antara Singapura dan Johor," tulis beliau.

Sebagai jiran kepada Malaysia, beliau berkata Singapura memainkan peranan yang cukup signifikan dalam perkembangan ekonomi Johor.

Beliau turut melahirkan rasa terharu mendengar perkongsian kedua-dua menteri Singapura itu tentang bagaimana hubungan akrab antara kedua-dua negara yang kekal utuh, biarpun dalam tempoh mencabar seperti ketika dunia dilanda wabak COVID-19, sehinggalah apabila sempadan kedua-dua negara ini dibuka semula sepenuhnya.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna, Lee Ting Han; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir; dan Konsulat Jeneral Singapura di Johor Bahru, Jeevan Singh.

Kelmarin, Onn Hafiz menyatakan negeri Johor berpotensi menerima pelaburan bernilai di antara RM10 bilion hingga RM15 bilion daripada beberapa syarikat antarabangsa yang berpangkalan di Singapura.

Beliau berkata ini berikutan pertemuannya dengan wakil beberapa syarikat antarabangsa antaranya AirTrunk, sebuah syarikat pusat data berskala besar yang terbesar di Asia Pasifik dan Jepun serta syarikat Wilhelmsen, satu daripada kumpulan maritim terkemuka di peringkat global.

-- BERNAMA