Johor menawarkan kepakaran industri halal kepada syarikat Jepun yang berminat untuk meneroka peluang dalam pasaran bernilai tinggi itu.

Bersandarkan satu pencapaian baharu dalam hubungan dengan Jepun, kerajaan negeri Johor akan menyediakan kepakaran dalam pensijilan halal, dan pada masa yang sama, menjejaki peluang bagi manfaat industri pasaran halal yang lebih luas di negara matahari terbit itu.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata populasi penduduk Islam yang berjumlah 1.6 bilion menyumbang 25 peratus daripada populasi dunia, oleh itu, keperluan membangunkan hab halal di negara tertentu, termasuk Jepun adalah penting.

"Industri makanan halal global dijangka bernilai AS$1.6 trilion dalam tempoh lima tahun akan datang berbanding AS$1.1 trilion pada 2013.

"Berdasarkan potensi yang sangat besar, industri ini tidak boleh diketepikan," katanya kepada Bernama semasa penutup misi pelaburan dan perdagangan Johor selama empat hari di Jepun yang berlangsung di Pusat ASEAN-Jepun di sini pada Sabtu.

Sepanjang misi itu, Mohamed Khaled bertemu para pelabur berpotensi dan mencari peluang untuk kerjasama antara Johor dan Jepun pada masa depan.

Menteri Besar berkata Malaysia berusaha untuk menjadi hab global pengeluaran dan perdagangan barangan serta perkhidmatan halal untuk sekian lama.

"Kini, Jepun telah hampir untuk mula menembusi pasaran halal global. Ia adalah masa yang tepat dan sesuai," katanya.

Terdahulu, Mohamed Khaled menyaksikan majlis menandatangani beberapa memorandum persefahaman (MoU) berkenaan usaha memajukan industri halal di Jepun.

Mengikut MoU ini, JT Laboratories Sdn Bhd yang berpangkalan di Johor akan membantu syarikat Jepun memperoleh akreditasi halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Syarikat berkenaan adalah AT Toyyibah Japan Co Ltd dan Brahim's Food Japan Co Ltd.

"Selain berkongsi kepakaran, kita juga menyediakan perkhidmatan seperti penyelidikan dan pembangunan serta audit pensijilan halal," kata Mohamed Khaled.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif AT Toyyibah, Susumu Hosokawa; Ketua Pegawai Eksekutif Brahim's Food Japan Co, Masaaki Shimizu; Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Negeri Johor, Abd Mutalip Abd Rahim serta Pengarah Jabatan Agama Islam Johor, Muji Salimon.