KUALA LUMPUR: Peru berhasrat menjadi pengeksport produk makanan halal selepas memperoleh sijil halal Malaysia tahun ini.

Naib Menteri Perdagangan Luar Peru, Teresa Stella Mera Gomez berkata, perwakilan negara itu kini sedang berbincang dengan Halal Development Corporation Bhd (HDC) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan memorandum persefahaman berkaitan dijangka dimeterai dalam beberapa bulan ini.

Beliau berkata, Peru sedang meningkatkan industri pertaniannya untuk mengurangkan pergantungan kepada sektor perlombongan.

"Pada tahun 2000, eksport Peru ke Malaysia bernilai AS$22 juta kebanyakannya disumbangkan oleh sektor perlombongan (79 peratus) hanya 0.5 peratus daripada pertanian dan tahun lepas eksport kami ke Malaysia ialah AS$245 juta disumbangkan oleh perlombongan 69 peratus dan pertanian 29 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Bernama di luar "Forum Perniagaan Antara Wilayah: Memperkasakan Hubungan Antara Amerika Latin-Caribean dan Negara-Negara Asia Tenggara", di sini pada Khamis.

"Peru mempunyai produk pertanian yang berkualiti tinggi dan biji koko adalah produk eksport utama kami ke Malaysia, kami (Peru) telah mendapat akses pasaran untuk avokado dan delima, selain itu kami juga melihat permintaan tinggi untuk quinoa dalam kalangan rakyat Malaysia," katanya.

Semasa Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC pada November tahun lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju dengan permintaan Presiden Peru, Dina Ercilia Boluarte Zegarra untuk membantu memudahkan pensijilan halal produk keluaran Peru kerana pensijilan halal Malaysia diiktiraf di seluruh dunia.

Sementara itu, beliau berkata, negara itu berhasrat untuk mengukuhkan perdagangan dua hala melalui usaha sama dengan syarikat Malaysia untuk melabur di Peru khususnya untuk tenaga boleh diperbaharui, semikonduktor, sarung tangan getah dan industri minyak sawit, disokong oleh kemajuan Malaysia dalam teknologi dan pengetahuan dalam bidang tersebut.

"Malaysia juga boleh menjadikan Peru sebagai hab untuk mengeksport dan meneroka peluang ke negara Amerika Latin yang lain," katanya.

Malaysia ialah rakan dagangan ke-11 terbesar Peru di Asia dan ke-25 terbesar di dunia dengan perdagangan dua hala tertinggi bernilai AS$455.912 juta direkodkan tahun lepas. - BERNAMA