Johor tekad selesaikan masalah jalan berlubang tahun depan - MB

Bernama
Mei 17, 2023 22:00 MYT
Onn Hafiz berucap pada Forum Perniagaan Johor-Korea dan Persembahan Kebudayaan di sebuah hotel di Johor Bahru, 17 Mei 2023. --fotoBERNAMA
JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor bertekad menyelesaikan masalah rakyat khususnya melibatkan jalan berlubang, jaringan Internet dan kesesakan di kedua-dua pintu keluar masuk sempadan laluan darat di negeri ini selewat-lewatnya tahun depan.
Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata pelbagai agensi kerajaan Persekutuan dan negeri sedang bekerjasama dalam memastikan perkara itu terlaksana selari dengan inisiatif Johor Maju 2030.
"Baru-baru ini, saya semakin dikenali ramai bukan disebabkan rupa yang 'handsome' tetapi kerana tular di media sosial dalam usaha menyelesaikan kesesakan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB).
"Kini kerajaan negeri turut memberi tumpuan kepada usaha membaik pulih jalan raya berlubang dan jaringan Internet, kita usaha atasi selewat-lewatnya tahun depan," katanya berucap pada Forum Perniagaan Johor - Korea 2023 di sini semalam.
Onn Hafiz berkata komitmen ditunjukkan pihaknya berjaya mengurangkan sehingga 30 minit tempoh perjalanan pengembara yang berulang alik dari Johor ke Singapura untuk bekerja di republik itu, setiap hari.
Justeru, beliau berkata komuniti perniagaan termasuk dari luar negara perlu tahu bahawa kerajaan negeri serius dalam menyelesaikan permasalahan berbangkit agar mereka mempunyai pengalaman lebih baik dan pulangan lebih tinggi terhadap pelaburan mereka.
Sebelum ini, Onn Hafiz dilaporkan telah melakukan pemeriksaan mengejut secara berkala di kaunter Imigresen di BSI di sini dan KSAB di Iskandar Puteri sejak beberapa minggu lepas.
-- BERNAMA
#onn hafiz ghazi #jalan berlubang #Singapura #CIQ