KUALA LUMPUR: Johor bakal menerima sebanyak dua juta dos vaksin COVID-19 pada bulan ini, kata Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Tunku Ismail dalam satu kenyataan berkata, sejumlah 324,940 dos akan tiba seawal minggu pertama Ogos disusuli 564,234 dos pada minggu kedua, minggu ketiga (340,150) dan minggu keempat (796,344).

Selain itu, Tunku Ismail berkata, mengarahkan kerajaan negeri untuk membuka satu Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pandu lalu khas di Arena Larkin, Johor Bahru khas bagi memudahkan golongan OKU untuk mendapatkan suntikan vaksin.

Pada masa sama, Tunku Ismail menzahirkan harapan perkembangan itu akan membolehkan Johor mencapai imuniti kelompok dalam jangka masa terdekat.

Terdahulu, Tunku Ismail mengadakan perjumpaan dengan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin; Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad; Exco Pelancongan, Belia dan Sukan, Datuk Onn Hafiz Ghazi; dan Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani di Royal Johor Polo Club, pada Ahad.

Antara yang dibincangkan dalam perjumpaan itu adalah berkaitan kadar vaksinasi dan pembekalan vaksin di negeri itu.