Skip to main content

Sukan

MFL nafi sambutan Piala Malaysia, Piala Cabaran suram

Sumber: Sinar Harian
Mohd Shazli berkata, trend positif dijangka berterusan pada aksi timbal balik yang akan menentukan nasib pasukan ke peringkat seterusnya. - Foto SInar Harian

LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) menafikan dakwaan segelintir pihak bahawa sambutan terhadap kejohanan Piala Malaysia dan Piala Cabaran musim ini semakin hambar atau suram.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd berkata, sebaliknya data kehadiran penonton dan jualan tiket membuktikan kedua-dua kejohanan itu masih mempunyai aura serta daya tarikan yang kuat dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.

Advertisement

Sebagai bukti, beliau turut memberikan contoh kepada suasana luar biasa yang tercetus pada perlawanan-perlawanan membabitkan aksi final pertama Piala Cabaran dan separuh akhir pertama Piala Malaysia baru-baru ini.

"Kalau kita lihat pada dua perlawanan terdahulu, kita ada aksi final pertama Piala Cabaran di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang. Keadaan di sana adalah 'full house' bagi perlawanan membabitkan Penang FC menentang Sabah FC.

"Kemudian pada keesokan harinya, aksi antara Selangor FC bertemu Kuching City FC juga mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada penyokong," katanya.

Mohd Shazli berkata, trend positif itu dijangka akan berterusan pada aksi timbal balik yang akan menentukan nasib pasukan ke peringkat seterusnya.

Beliau menjangkakan suasana meriah yang sama bakal berulang pada aksi final kedua Piala Cabaran di Stadium Likas, Kota Kinabalu serta perlawanan separuh akhir kedua di Kuching, Sarawak nanti.

"Saya rasa tidak ada keadaan di mana sambutan itu suram, sebaliknya ia masih lagi mendapat sambutan yang baik. Malah, info yang saya terima daripada CEO Kuching City FC memaklumkan jualan tiket bagi perlawanan tersebut lebih agresif berbanding perlawanan liga.

"Penyokong mula membeli tiket untuk aksi separuh akhir antara Kuching City dan Selangor. Jadi, bagi saya sambutan di peringkat Piala Malaysia ini masih lagi berada pada tahap yang amat memberangsangkan," ujarnya. - Sinar Harian

 

Must Watch Video