JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri menerusi Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ) meneruskan usaha untuk membantu golongan berpendapatan sederhana (M40) bagi memiliki kediaman di Iskandar Puteri menerusi pelaksanaan projek Eco Botanic 3.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata bagi tujuan itu, PKPJ menjalinkan kerjasama strategik dengan Permodalan Darul Ta'zim Sdn Bhd (PDT); Iskandar Investment Bhd (IIB) menerusi anak syarikatnya, River Retreat Sdn Bhd (RRSB) dan EcoWorld Development Group Bhd (EcoWorld).

Beliau berkata projek tersebut yang akan dibangunkan secara berfasa oleh pemaju utama EcoWorld, akan menawarkan 3,746 unit rumah.

Daripada jumlah itu, sebanyak 1,008 unit rumah merangkumi 700 unit rumah pangsapuri akan ditawarkan dengan harga bermula kurang daripada RM400,000 seunit manakala 308 unit rumah teres dengan harga bermula di bawah RM500,000 seunit, kata Onn Hafiz.

"Projek ini adalah kesinambungan daripada projek Eco Botanic 2 yang telah menerima sambutan menggalakkan khususnya golongan M40 dalam kalangan Bumiputera apabila lebih 94 peratus unit telah terjual sejak pembangunan di Presint 1 dan 2 yang dilancarkan pada 2021.

"Rentetan kejayaan ini, Kerajaan Negeri akan meneruskan pembangunan perumahan bercampur yang dikenali sebagai Eco Botanic 3, yang mana golongan M40 berpeluang memiliki hartanah bertaraf premium serta eksklusif yang akan dibangunkan di lokasi strategik iaitu di EduPark East dan EduPark West, Iskandar Puteri dengan keluasan tanah 240.314 ekar milik IIB," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Onn Hafiz berkata kerajaan negeri sentiasa memastikan kemajuan sektor perumahan di negeri itu sentiasa berdaya saing terutamanya dalam penyediaan rumah mampu milik golongan M40 yang selesa untuk didiami.

"Insya-Allah, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan lebih banyak lagi pemaju-pemaju bagi menghasilkan lebih banyak rumah untuk dimiliki oleh semua golongan masyarakat," katanya.

Sementara itu, IIB dalam satu kenyataan berasingan menjelaskan kerjasama mereka dengan PKPJ, PDT dan EcoWorld, membolehkan mereka memainkan peranan penting dalam menyediakan penyelesaian perumahan mampu milik untuk kumpulan M40.

"Ketika kami menghampiri matlamat untuk mencapai penduduk yang hidup serta bekerja pada seramai 600,000 menjelang 2030, kami mempunyai keyakinan bahawa projek ini bukan sahaja akan menyumbang untuk mencapai pertumbuhan penduduk tetapi juga menjadi pemangkin kepada peningkatan pelaburan di Iskandar Puteri, sekali gus mengukuhkan kedudukan sosio-ekonomi Johor," katanya.

Sebagai pemaju induk Iskandar Puteri, IIB berkata kumpulan M40 adalah penting kepada pertumbuhan kumpulan bakat Iskandar Puteri dan Malaysia.

-- BERNAMA