KUALA LUMPUR: Sidang khas Parlimen yang membuka tirai 26 Julai ini bakal menyaksikan beberapa isu penting akan dibentangkan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Antara perkara penting yang akan mendominasi sidang kali ini termasuk pembentangan berkenaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) selain pindaan melibatkan Peraturan Mesyuarat bagi membolehkan sidang secara hibrid dijalankan.

Namun, setiap kali sidang Parlimen berlangsung, pasti wujud pelbagai ragam lain, sama ada perang mulut, dihalau daripada persidangan, gelak tawa, hiruk pikuk dan pelbagai lagi.

Ia memberi sisi berbeza kepada perjalanan persidangan yang sering disifatkan sebagai ‘tenang-tenang’ sahaja.

Sepanjang sidang khas kali ini, Astro AWANI akan tampil dengan laman mikro yang akan berkongsi sisi berbeza apa yang berlaku di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

#SisiTVParlimen akan berkongsi cerita dan klip video menarik disebalik persidangan yang pertama kali berlangsung selepas Ordinan Darurat diisytiharkan pada Januari 2021.

Laman kandungan mikro ini akan memantau gerak geri wakil rakyat anda sepanjang lima hari persidangan Dewan Rakyat.

Bukan itu sahaja, kandungan menarik sepanjang tiga hari sidang Dewan Negara yang akan bermula pada 3 Ogos ini akan turut diselitkan di laman ini.



Anda pasti tidak akan ketinggalan! Ikuti semua kandungan ini di laman mikro Sisi TV Parlimen serta di semua platform media sosial Astro AWANI sepanjang sidang khas Parlimen ini berlangsung.