JP Selangor, MDDM, MDPM perkukuh kerjasama banteras penyalahgunaan gelaran kehormat

Pencapaian bersejarah itu dipersetujui pada sesi dialog melibatkan tiga badan tersebut yang menandakan langkah penting ke hadapan dalam kerjasama antara majlis dan koordinasi tindakan untuk kepentingan negara. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Majlis Jaksa Pendamai (JP) Selangor bersama-sama Majlis Datuk Dato' Malaysia (MDDM) dan Majlis Datuk Persekutuan Malaysia (MDPM) bersetuju mengukuhkan kerjasama strategik untuk memastikan integriti awam dan mengekang penyalahgunaan gelaran kehormat.
Ringkasan AI
- Majlis Jaksa Pendamai (JP) Selangor, Majlis Datuk Dato' Malaysia (MDDM), dan Majlis Datuk Persekutuan Malaysia (MDPM) mengukuhkan kerjasama strategik bagi mengekang penyalahgunaan gelaran kehormat dan memastikan integriti awam.
- Peningkatan trend individu menggunakan gelaran palsu seperti Dato', Datuk, Tan Sri, dan lain-lain untuk tujuan menipu pelabur serta mendapatkan kepentingan peribadi atau kewangan telah menjadi kebimbangan utama.
- Tiga majlis tersebut bersetuju untuk bekerjasama dalam inisiatif memerangi gelaran palsu, menangani penipuan dan perwakilan yang mengelirukan, serta memperkasakan sistem pengesahan dan kesedaran awam.
Dalam kenyataan, JP Selangor memaklumkan dialog itu mencerminkan komitmen mereka untuk kerjasama berterusan bagi menjunjung integriti dan melindungi kepercayaan awam serta menjaga martabat gelaran yang dianugerahkan secara sah.
"Dalam beberapa tahun ini, majlis telah memerhatikan peningkatan trend yang membimbangkan melibatkan individu menggunakan gelaran kehormat seperi Dato', Datuk, Dato' Seri, Datuk Seri, JP malah Tan Sri palsu atau tanpa kebenaran.
"Kebanyakan individu itu sengaja bergambar dengan Yang di-Pertuan Agong, raja, gabenor, Perdana Menteri, menteri, wakil rakyat, menteri besar, pegawai kanan atau orang ternama dan memuat naik gambar tersebut dalam media sosial untuk mewujudkan gambaran palsu tentang kesahihan, pengiktirafan atau sokongan," menurut kenyataan itu.
Taktik itu digunakan untuk menipu pelabur, mendapatkan kepercayaan yang tidak sepatutnya dan menjamin kepentingan peribadi atau kewangan dengan sebahagian kes melibatkan pemasangan lampu strobe biru pada kenderaan yang memberi gambaran palsu pihak berkuasa dikaitkan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau pengiring berkaitan diraja.
Kes lain yang dikenal pasti melibatkan penggunaan seragam, logo, lambang dan tanda kebesaran serta memaparkan gelaran pada kad nama, kenderaan, rekod syarikat, dokumen serta tirai latar acara secara palsu atau tanpa kebenaran.
Selain itu, turut dikesan ialah penggunaan status profesional atau persatuan palsu termasuk peguam, perunding, penasihat atau majlis tanpa akreditasi yang sah.
"Tindakan ini bukan hanya untuk bermegah diri. Mereka dengan sengaja menjejaskan keyakinan masyarakat, merosakkan integriti pemegang gelaran tulen dan mendedahkan individu, perniagaan serta pelabur kepada risiko yang serius," menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, tiga majlis tersebut bersetuju untuk bekerjasama dalam inisiatif termasuk memerangi gelaran palsu dan tanpa kebenaran, menangani penipuan dan perwakilan yang mengelirukan serta mengekang ketidakadilan menggunakan tindakan undang-undang yang salah atau berniat jahat.
Memperkasakan sistem pengesahan, perkongsian maklumat dan kesedaran awam serta memperkukuh kerjasama dengan pihak berkuasa serta masyarakat juga sebahagian daripada inisiatif itu.
Sementara itu, Chong berkata telah mengendalikan aduan berkaitan penggunaan gelaran Dato' palsu dan tidak diiktiraf sejak 2000 dengan isu itu terus berlarutan sementara Samson memaklumkan MDDM telah membuat lebih 36 laporan polis sejak 2023.
Majlis JP Selangor menggesa orang awam untuk melaksanakan langkah wajar dengan mengesahkan dakwaan melalui saluran diiktiraf dan melaporkan penyalahgunaan yang disyaki kepada pihak berkuasa berkaitan.
Selain itu, pertemuan itu juga disifatkan sebagai penting kerana meletakkan asas kepada tindakan yang berstruktur dan selaras demi kepentingan keadilan, ketelusan dan kepercayaan masyarakat.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


