PADANG BESAR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 331 notis atas pelbagai kesalahan daripada pemeriksaan terhadap 1,308 kenderaan menerusi Op Khas Kenderaan dan Premis Pelancongan selama dua hari bermula semalam di Kedah dan Perlis.

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Datuk Lokman Jamaan berkata notis itu dikeluarkan kerana kenderaan terbabit dikesan melanggar Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333] dalam operasi yang berlangsung di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah dan Padang Besar, Perlis.

"Op khas ini bermula pada 6 pagi hingga 1 tengah hari semalam dan hari ini mulai 6 pagi hingga 11 pagi menyasarkan koridor penguatkuasaan dan pelancongan melalui pintu masuk di ICQS Bukit Kayu Hitam dan Kompleks ICQS Padang Besar," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Lokman berkata op khas yang turut memfokuskan kenderaan dan premis yang menjalankan aktiviti perniagaan melibatkan pakej pelancongan tanpa lesen sah itu dilaksanakan dengan kerjasama Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan Pelancongan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Sementara itu, beliau berkata 19 notis dikeluarkan pihak MOTAC daripada hasil pemeriksaan terhadap 74 kenderaan persendirian dan pelancongan serta premis perniagaan pelancongan dalam operasi itu kerana didapati melanggar Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482].

"Antaranya ada yang dikesan membawa pelancong dalam kenderaan persendirian, ada yang tidak menggunakan khidmat pemandu pelancong berlesen selain perniagaan pelancongan tanpa lesen dan beroperasi tanpa lesen cawangan," katanya.

Sehubungan itu, Lokman berkata JPJ dan MOTAC akan meningkatkan operasi bersepadu secara kolaborasi itu dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan dan kebajikan pelancong selaras dengan Tahun Melawat Malaysia sekali gus menggalakkan peningkatan ekosistem pelancongan yang mampan.

"Justeru, JPJ dan MOTAC mengingatkan pengusaha pelancongan memastikan keperluan Akta 482 dan Akta 333 dipatuhi sepenuhnya. JPJ memohon kerjasama orang awam untuk membuat aduan kepada pihak MOTAC atau JPJ jika terdapat mana-mana pihak menganjurkan perniagaan pakej pelancongan tanpa lesen yang sah.

"JPJ dan MOTAC menyeru kepada orang awam untuk melaporkan aduan secara terus atau masa nyata dengan menggunakan Aplikasi MyJPJ e-aduan@jpj atau emel [email protected] beserta dengan butiran lengkap aduan dan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) MOTAC di pautan https://motac.spab.gov.my/eApps/system/index.do," katanya.

-- BERNAMA