KUALA TERENGGANU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesan kegiatan warga asing di negeri ini yang menggunakan kenderaan disewa untuk membawa penumpang dan mengangkut barangan.
Pengarah JPJ Terengganu Mohd Zamri Samion berkata siasatan mendapati sebahagian besar individu yang ditahan melibatkan etnik Rohingya yang menawarkan perkhidmatan tersebut menggunakan kenderaan persendirian yang disewa daripada warga tempatan.
Beliau berkata aktiviti tersebut bukan sahaja melanggar undang-undang, malah membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang lain memandangkan pemandu terbabit tidak memiliki lesen memandu kompeten (CDL) dan lesen kenderaan motor (LKM).
"Pihak kami mengesan kegiatan warga asing terutama Rohingya yang menggunakan kenderaan persendirian yang disewakan oleh penduduk tempatan untuk membawa penumpang, mengangkut kanak-kanak dan membawa pelbagai barangan kerja dalam aktiviti seharian dalam kalangan mereka.
"Perkara ini tidak boleh dipandang ringan kerana kebanyakan mereka tidak mempunyai LKM dan CDL. Kita ambil contoh kes lelaki Rohingya baru-baru ini yang memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal," katanya pada sidang media di Pejabat JPJ Negeri Terengganu di sini hari ini.
Mohd Zamri berkata JPJ Terengganu telah menyita 114 kenderaan dan mengeluarkan 559 saman atas pelbagai kesalahan hasil Operasi Penguatkuasaan Warga Asing (Ops PEWA) yang dijalankan sejak 1 Jun hingga hari ini.
Beliau berkata sebanyak 93 kenderaan yang disita melibatkan pemandu etnik Rohingya yang tidak mempunyai sebarang kelayakan memandu atau dokumen pemilikan kenderaan yang sah.
"Kita mahu memberi mesej jelas bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap pemandu warga asing yang melanggar undang-undang, malah turut diambil kepada pemilik kenderaan yang didapati bersubahat menyewakan kenderaan," katanya.
Mohd Zamri berkata pihaknya juga menjalankan aktiviti penyamaran dan masuk ke kampung-kampung bagi mengesan warga asing yang membawa kenderaan tanpa lesen dan dokumen yang sah.
-- BERNAMA