BACHOK: Kulit tembikai yang lazimnya dibuang selepas buah berkenaan dimakan kini berpotensi menjadi bahan bernilai tinggi dalam industri kosmetik menerusi inovasi penyelidikan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang diperkenalkan di bawah jenama Clasiti®.
Inovasi yang dibangunkan oleh Pensyarah Fakulti Industri Asas Tani UMK, Prof Madya Ts Dr Siti Nuurul Huda Mohammad Azmin itu bermula menerusi penyelidikan bahan semula jadi dan formulasi kosmetik sejak 2017, dengan kulit tembikai menjadi antara fokus utama kajian.
"Kulit tembikai yang sering dianggap sebagai sisa pertanian sebenarnya mempunyai potensi sebagai sumber sebatian bioaktif, termasuk antioksidan yang boleh dimanfaatkan dalam pembangunan produk penjagaan kulit.
"Saya bersama pelajar menjalankan penyelidikan bagi mengenal pasti kaedah pengekstrakan bersesuaian, mengoptimumkan proses mendapatkan bahan bioaktif serta mengkaji kaedah memasukkan ekstrak berkenaan ke dalam formulasi kosmetik yang stabil.
"Penyelidikan itu kemudian berkembang kepada pembangunan losen, pelindung matahari (sunscreen), pencuci muka, serum dan pelbagai produk penjagaan kulit," katanya kepada Astro AWANI, baru-baru ini.
Hasil penyelidikan berkenaan membawa kepada penubuhan SNH Cosmetic Lab Sdn. Bhd., sebuah syarikat spin-off UMK yang bertanggungjawab membawa hasil kajian ke peringkat pengkomersialan menerusi jenama Clasiti®.
Menurut beliau, Clasiti® bukan sekadar jenama kosmetik yang dibangunkan berdasarkan trend pasaran namun ia lahir daripada usaha penyelidikan, pembangunan formulasi dan proses pengkomersialan yang dijalankan secara berperingkat.
Mengulas pencapaian penyelidikan itu, beliau berkata kajian berkaitan kulit tembikai menerima sokongan enam geran, termasuk daripada Kementerian Pendidikan Tinggi, dana inovasi, geran kerjasama antarabangsa serta geran industri bersama Hannan Medispa. Penyelidikan itu turut meraih lebih 25 pengiktirafan inovasi di peringkat universiti, kebangsaan dan antarabangsa.
"Selain menghasilkan penerbitan saintifik berkaitan pengekstrakan dan pembangunan formulasi, penyelidikan berkenaan turut mempunyai satu permohonan paten berkaitan formulasi ekstrak kulit tembikai serta dua hak cipta pembangunan produk. Jenama Clasiti® juga mempunyai pendaftaran cap dagangan," ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, kepakaran penyelidikan dan formulasi kosmetik beliau turut diterjemahkan menerusi kejayaan mengkomersialkan NIA Whitening Sunscreen by Dr. Huda melalui kerjasama industri bersama Hannan Medispa.
"Produk pelindung matahari dengan perlindungan SPF40 PA+++ itu menggabungkan bahan penjagaan kulit seperti niacinamide, peptides dan sodium hyaluronate.
"Produk berkenaan mencatatkan jualan hampir 12,000 unit dalam tempoh kurang dua tahun menerusi rangkaian Hannan Medispa yang mempunyai lebih 140 cawangan di Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan Brunei," katanya.
Kejayaan itu turut melayakkan inovasi berkenaan meraih Naib Johan Anugerah Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY) 2025 anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, sekali gus membuktikan hasil penyelidikan universiti mempunyai potensi untuk diterima dalam pasaran sebenar.
Mengulas perancangan masa depan, beliau berkata usaha akan diteruskan untuk memperluas pembangunan produk penjagaan kulit berasaskan bahan bioaktif semula jadi, khususnya daripada sumber pertanian tempatan yang masih belum dimanfaatkan sepenuhnya. Kerjasama dengan pihak industri juga akan diperkukuh bagi membawa lebih banyak hasil penyelidikan ke peringkat komersial.
"Inovasi sebenar bukan hanya apabila kajian kita berjaya diterbitkan atau menerima anugerah. Kepuasan terbesar adalah apabila kita dapat melihat hasil penyelidikan yang bermula di makmal akhirnya menjadi produk yang boleh digunakan oleh masyarakat," katanya.
Inovasi Clasiti® antara hasil penyelidikan UMK yang diketengahkan sempena Festival of Ideas Putrajaya 2026, sekali gus memperlihatkan potensi universiti tempatan dalam mengubah sisa pertanian kepada produk bernilai tambah menerusi penyelidikan, teknologi dan inovasi.