Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan sistem tender dalam talian (e-bidding) selewat-lewatnya Januari depan bagi membolehkan pemilik kenderaan membida nombor plat pilihan tanpa perlu ke pejabat JPJ lagi.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata ramai rakyat Malaysia yang sanggup bayar untuk mendapatkan nombor plat cantik dan istimewa, maka menerusi pengenalan sistem e-bidding itu akan menggalakkan mereka yang berkemampuan untuk menyumbang kepada hasil negara.

"Melalui sistem ini, kita akan jual nombor plat itu kepada mereka yang letak harga tinggi," katanya dalam sidang media selepas pertemuan dengan pengurusan tertinggi JPJ di Kementerian Pengangkutan, di sini hari ini.

Beliau berkata kementerian akan mengkaji mekanisme e-bidding yang bersesuaian dan memberi jaminan kepada pemilik kenderaan bahawa tiada kenaikan harga untuk mendapatkan nombor plat biasa selepas pelaksanaan sistem itu

Pada 2016, Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar memenangi bidaan ke atas nombor plat F1 dengan nilai RM836,660 selain berjaya membida plat W1N pada 2014 dan WWW1 pada 2012 masing-masing bernilai RM748,000 dan RM520,000.

BACA: Nombor plat 'F1' milik Sultan Johor

Loke berkata JPJ telah mengutip RM280 juta melalui bidaan pendaftaran nombor plat kenderaan pada tahun lepas manakala RM 137 juta menerusi belian biasa.

"Pada tahun lalu, sebanyak RM4 bilion disumbangkan (JPJ kepada kerajaan), merangkumi hasil daripada lesen kenderaan motor, cukai jalan dan pendaftaran nombor kenderaan," katanya.

Beliau berkata kementerian juga memutuskan bahawa tiada permohonan baharu kepada badan bukan kerajaan (NGO) untuk menjual nombor plat istimewa diluluskan dan ia berkuat kuasa serta-merta.

"Sebelum ini, menteri pengangkutan ada kuasa untuk memberikan mana-mana NGO untuk mengeluarkan nombor plat khas atau istimewa. Saya difahamkan menteri sebelum ini telah memberikan 35 NGO untuk mengeluarkan dan menjual nombor plat kenderaan khas dalam tempoh setahun.

"Saya telah mengeluarkan arahan agar amalam ini dihentikan. Tiada NGO diberi kelonggaran untuk menjual nombor plat. Semuanya perlu dilakukan oleh JPJ. Kesemua kutipan itu harus masuk dalam hasil negara," katanya.

Berhubung pelaksanaan Sistem Permit Masuk Kenderaan (VEP) dan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), Loke berkata beliau telah diberi taklimat mengenainya, namun kedua-dua perkara itu perlu dirujuk kepada kabinet.

"Kami sedang mencari penyelesaian yang komprehensif, bukan satu-satunya penyelesaian...ia bukan sahaja melibatkan JPJ, malah juga agensi lain," katanya.

-- BERNAMA