SEREMBAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berhasrat melaksanakan penyampaian perkhidmatan secara pendigitalan penuh pada masa akan datang bagi memastikan kualiti penyampaian agensi itu kepada masyarakat berjalan lancar dan berkesan.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata konsep pendigitalan itu telahpun dimulakan menerusi Pelan Strategik Pendigitalan JPJ 2021-2025 dengan pelbagai inisiatif merangkumi pelan infrastruktur teknologi maklumat, tadbir urus dan kompetensi.

"Memang kita harap akan ada pendigitalan penuh, tetapi ia akan mengambil masa sebab ada banyak sistem yang perlu diintegrasikan. Sekarang 2023 kita telah pun ada beberapa inisiatif seperti Pendigitalan Lesen Kenderaan Motor (eLKM) dan Lesen Memandu Malaysia (eLMM) selaras pemacuan digitalisasi itu.

"JPJ eBid lebih awal kita buat sejak 2019 dan dalam masa dua tahun yang akan datang ini, banyak lagi inisiatif pendigitalan yang akan dilaksanakan oleh JPJ," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Ulang Tahun Hari JPJ ke-77 bertemakan 'Digitalisasi Kebitaraan JPJ' yang diadakan selama tiga hari sejak Jumaat di sini.

Beliau berkata konsep pendigitalan itu turut diaplikasikan ke dalam strategi penguatkuasaan yang lebih holistik antaranya menggunakan dron untuk mengesan pesalah yang melanggar peraturan lalu lintas termasuk ketika Ops Hari Raya Aidilfitri lepas.

Jelasnya, penggunaan kamera aksi pengawasan (EAC) dan sistem Peranti Penguatkuasaan Pengurusan Pintar (SmED) yang memfokuskan kepada Operasi Tanpa Sentuh JPJ (Camera Go-Pro) serta teknologi sistem High Speed Weigh-in-Motion (Hi-WiM) juga terus dipergiat untuk meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan JPJ.

Sementara itu, dalam majlis berkenaan, Loke turut melancarkan beberapa inisiatif baharu diperkenalkan JPJ termasuk e-Book Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP), JPJeID, JPJ Mobile dan bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan (FF) yang dibuka selama lima hari bermula hari ini menerusi JPJeBid.

"Saya yakin inisiatif baharu ini akan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat serta membolehkan JPJ berada pada tahap terbaik sebagai penyedia perkhidmatan awam dan penguatkuasa yang mesra, cekap dan telus," katanya.

-- BERNAMA