Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) telah diarahkan membuat siasatan terhadap syarikat pengendali bas yang basnya terlibat dalam nahas berhampiran kawasan MASKargo di Sepang yang mengorbankan 12 orang.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata siasatan audit keselamatan akan dimulakan pada Isnin oleh JPJ dan Miros.

"JPJ dan Miros akan pergi ke syarikat pengendali bas berkenaan yang beralamat di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan untuk siasatan lanjut.

"Saya akan mendapat laporan awal esok manakala ulasan siasatan akan dibuat oleh pihak JPJ sama ada mereka ini (syarikat pengendali bas) ada melanggar peraturan keselamatan jalan raya atau sebaliknya," katanya pada sidang media di Unit Kecemasan Hospital Serdang di sini pada Isnin.

Beliau berkata setakat ini syarikat pengendali bas berkenaan tidak digantung kerana masih menunggu laporan hasil siasatan.

"Jika syarikat pengendali bas didapati tidak mematuhi peraturan keselamatan jalan raya kemungkinan lesen operasi mereka akan digantung," katanya.

BACA: Tiada kesan brek di lokasi kemalangan bas pekerja - Polis

Selain itu, Loke juga mendedahkan syarikat berkenaan mempunyai sembilan permit iaitu lima permit bas pekerja dan empat permit bas persiaran.

"Kementerian saya mengambil berat isu kemalangan ini dan ia satu kemalangan yang amat menyedihkan. Oleh itu, majikan pekerja warga asing yang terlibat harus bertanggungjawab untuk menguruskan penghantaran pulang mayat ke negara masing-masing.

"Selain itu, saya juga difahamkan pihak kedutaan negara-negara terlibat telah dihubungi bagi memaklumkan kejadian sedemikian," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai keadaan mangsa yang cedera dan dirawat di hospital berkenaan, Loke berkata ada mangsa yang masih kritikal dan ada yang sedang menjalani pembedahan.

BACA: Orang bertindih-tindih dalam bas - Mangsa

Dalam nahas itu, bas pekerja terjunam ke dalam longkang besar berhampiran kompleks MASKargo, Sepang, dekat sini, pada Ahad, menyebabkan sembilan orang termasuk pemandu bas S. Suresh, 43, meninggal dunia di tempat kejadian.

Dua lagi meninggal dunia ketika masing-masing menerima rawatan di Hospital Serdang dan Putrajaya dan kematian seorang mangsa wanita Indonesia pada petangnya di Hospital Putrajaya menjadikan jumlah korban keseluruhan 12 orang.

Siasatan awal polis mendapati bas pekerja yang membawa 43 pekerja kontrak MASKargo itu dalam perjalanan ke tempat kerja dari asrama mereka di Nilai, Negeri Sembilan dan mereka sepatutnya memulakan giliran kerja pada jam 12 tengah malam.