KUALA TERENGGANU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu menubuhkan lima pasukan melibatkan 10 anggota yang menyamar sebagai penumpang untuk mengesan kesalahan pemandu bas sepanjang Ops Khas Perayaan Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2026 dari 16 hingga 29 Mac.
Pengarah JPJ Terengganu Mohd Zamri Samion berkata taktik penyamaran dengan menempatkan anggota di dalam bas ekspres bertujuan memastikan semua pemandu peka terhadap pemanduan kenderaan ketika membawa penumpang.
Advertisement
Beliau berkata sebanyak 44 siri penyamaran akan dijalankan di laluan Kuala Terengganu-Pahang, Pahang-Kuala Terengganu, Kuala Terengganu-Kelantan, Kelantan-Kuala Terengganu, Kuala Terengganu-Kuala Lumpur dan Kuala Lumpur-Kuala Terengganu.
"Kita juga akan melaksanakan strategi intensif dengan meletakkan kain rentang di beberapa lokasi untuk memastikan bukan hanya pemandu bas malah penumpang juga mempunyai persepsi akan ditangkap sekiranya melakukan kesalahan seperti tidak memakai tali pinggang keledar.
"Dari segi keselamatan bas, kita akan jalankan pemeriksaan di depoh-depoh bagi memastikan kenderaan tersebut dalam keadaan baik dan mematuhi segala peraturan yang ditetapkan," katanya selepas Ops Khas HRA 2026 dan Ops Motosikal (Rempit) di Jambatan Angkat dekat sini malam tadi.
Mohd Zamri juga berkata sebanyak 22 penunggang motosikal termasuk seorang remaja perempuan berumur 17 tahun ditahan dalam Ops Motosikal (Rempit).
Beliau berkata kesemua motosikal telah disita atas pelbagai kesalahan termasuk melakukan pengubahsuaian ekstrem dan Lesen Kenderaan Motor tamat tempoh.
"Ada sesetengah motosikal dicabut brek belakang untuk menambah kelajuan selain pengubahsuaian melibatkan model motosikal, blok enjin dan sebagainya... kenderaan yang diubah suai meningkatkan risiko kematian sekiranya berlaku kemalangan.
"Oleh sebab itu, JPJ Terengganu mengambil langkah meningkatkan Ops Khas Motosikal bagi menjaga keselamatan dan memastikan pematuhan undang-undang dalam kalangan penunggang," katanya.
Mohd Zamri berkata bermula 1 Jan hingga 11 Mac lepas, pihaknya telah menyita 149 motosikal dan mengeluarkan 5,606 saman atas pelbagai kesalahan dalam Ops Khas Motosikal.
-- BERNAMA