IPOH: Kerajaan Perak mengambil maklum isu seorang lelaki yang mendakwa sebagai seorang guru telah diasingkan oleh pihak sekolah dekat sini, di sebuah bilik simpanan stor kerana belum menerima vaksin COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, susulan itu, kerajaan negeri Perak melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) telah menjalankan siasatan terperinci berhubung perkara berkenaan.

Menurut beliau, perkara sama juga turut dimaklumkan kepada Kementerian Pendidikan selain laporan penuh akan dibentangkan dalam masa terdekat.

“JPN telah membuat siasatan penuh dan terperinci. Kes terbabit telah dimaklumkan kepada Kementerian Pendidikan. Walau bagaimanapun, pihak kerajaan negeri mengambil serius perihal ini yang melibatkan pelbagai aspek kesihatan dan kebajikan para guru.

“Ia bagi memastikan semua pihak berada dalam keadaan sihat dan bebas daripada wabak.  Kerajaan negeri ingin memastikan kesemua pihak sama ada guru, pelajar, dan ibu bapa berada dalam keadaan sihat.

“Laporan penuh akan dimaklumkan dalam masa terdekat oleh pihak Kementerian Pendidikan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu.

Semalam media melaporkan, seorang guru lelaki membuat pendedahan dalam video mendakwa dirinya seorang guru telah diasingkan oleh pihak sekolah di sebuah bilik simpanan stor tukang cuci kerana belum menerima vaksin COVID-19.

Menerusi video berdurasi kira-kira tiga minit yang tular itu, lelaki berkenaan meluahkan rasa kesal atas layanan diberi pihak sekolah terhadapnya.

Dalam masa sama video berkenaan turut menerima pelbagai reaksi warganet antaranya berpandangan bahawa tindakan pihak sekolah itu bagi melindung pelajar dan guru yang sudah divaksin.