MALAYSIA
JPS perkukuh sistem amaran awal banjir Selangor, PRAB Fasa 2 siap Oktober ini

Mohamad Radzi berkata, PRAB Fasa 2 di Selangor yang melibatkan pemasangan 280 stesen kini berada pada peringkat akhir pembangunan dan dijangka siap sepenuhnya pada 25 Okt ini. - Gambar Facebook JPS
KUALA LUMPUR: Sistem Amaran Awal Bencana, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Selangor sentiasa ditambah baik dan usaha berterusan sedang giat dijalankan bagi memperkukuh sistem sedia ada.
Ketua Pengarah JPS Mohamad Radzi Abdul Talib berkata Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) Fasa 2 di Selangor yang melibatkan pemasangan 280 stesen kini berada pada peringkat akhir pembangunan dan dijangka siap sepenuhnya pada 25 Okt ini.
"JPS telah menganalisis 28 amaran ribut petir daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dari 10 Sept hingga 18 Sept lepas dan menghasilkan maklumat terperinci mengenai kawasan yang dijangka menerima hujan lebat dan sangat lebat serta telah dikongsikan pada peringkat JPS negeri.
"Bagi tempoh yang sama, model ramalan banjir tidak menunjukkan indikasi banjir di Selangor, yang menjelaskan sebab tiada amaran banjir berkaitan dihebahkan secara meluas di Selangor," katanya dalam kenyataan hari ini.Beliau berkata demikian sebagai maklum balas kepada laporan sebuah media tempatan yang bertajuk "Apa Jadi Dengan Sistem Amaran Awal Bencana?" pada Khamis lepas.
Menurut Mohamad Radzi, pihaknya mengambil maklum kenyataan yang dikeluarkan oleh MCA Selangor berhubung dengan keberkesanan Sistem Amaran Awal Bencana susulan kejadian banjir di beberapa kawasan pada 10 hingga 15 Sept lepas.
Beliau menjelaskan bahawa Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) menyediakan notifikasi semasa mengenai status aras air sungai dan hujan di seluruh negara melalui portal Public Info Banjir, yang dikemas kini setiap 15 minit dan boleh diakses orang ramai, selain data yang sama turut dikongsi secara terus kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana Negara (NDCC).
Dari segi aspek kesiapsiagaan, beliau berkata model ramalan banjir hidrodinamik di lima lembangan sungai utama di Selangor, iaitu Sungai Bernam, Sungai Selangor, Sungai Buloh, Sungai Klang dan Sungai Langat telah siap pada 27 Jun lepas.
Bagi sistem siren pula, daripada 104 stesen di bawah PRAB Selangor Fasa 2, sebanyak 16 stesen di Gombak dan Hulu Selangor telah dimasukkan dalam Public Info Banjir dan kesemuanya berstatus normal sepanjang 1 hingga 18 Sept.
"JPS sentiasa memastikan semua stesen siren berfungsi pada setiap masa dan penyelenggaraan berkala dilaksanakan agar sistem beroperasi secara optimum," katanya.
JPS turut memberikan jaminan komitmen berterusan untuk mempertingkatkan sistem amaran awal bencana dengan kerjasama pelbagai agensi dan pihak berkepentingan, selain terbuka menerima maklum balas konstruktif bagi memperkukuh ketahanan Selangor terhadap bencana alam.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami