Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) boleh mengarahkan platform e-dagang untuk menurunkan kandungan yang mempunyai kaitan dengan pelanggaran hak cipta atau cetak rompak.

Menteri KPDNHEP, Datuk Alexander Nanta Linggi menjelaskan, pihaknya akan bertindak sedemikian apabila menerima aduan berkaitan perkara seumpamanya.

Pihaknya akan memaklumkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk tindakan menurunkan kandungan tersebut.

"KPDNHEP mengambil maklum mengenai dakwaan terdapatnya aktiviti penjualan filem-filem tempatan yang dicetak rompak di platform e-dagang seperti yang dilaporkan.

"Pada kebiasaannya, selepas menerima aduan pelanggaran hak cipta, pihak kementerian akan memaklumkan kepada SKMM untuk tindakan menurunkan content (kandungan) oleh pihak telco.

"Dalam kes ini, kita boleh meminta platform e-dagang menurunkan iklan tersebut," katanya.

BACA: Finas kecewa platform e-dagang jual filem cetak rompak, 'Keluarga Iskandar' antara mangsanya

BACA: MCMC akan sekat platform e-dagang jual produk cetak rompak

Walau bagaimanapun beliau memaklumkan, hasil pemeriksaan pihak KPDNHEP mendapati masih belum menerima apa-apa aduan berhubung perkara ini.

Sebelum ini, laman e-dagang Shopee dikesan menjual kandungan cetak rompak berupa filem-filem terbitan syarikat-syarikat tempatan.

Antara filem yang dikesan dijual di laman tersebut ialah Ada Apa Dengan Dosa dan Keluarga Iskandar The Movie.

Astro AWANI masih menunggu maklum balas dari pihak Shopee berhubung perkara ini.

Selepas dihubungi Astro AWANI, pihak Shopee telah menurunkan pautan yang menjual dua filem tersebut.

Dalam pada itu, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) sedang membuat siasatan lanjut berhubung kegiatan penjualan filem-filem tempatan yang dicetak rompak di platform e-dagang.

Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Ahmad Idham Nadzri menjelaskan pihaknya akan memberi tumpuan kepada pihak e-dagang dan juga mereka yang menjual filem-filem cetak rompak di platform terbabit.

Sementara itu, pihak MCMC tidak akan teragak-agak untuk menyekat laman yang menjual produk-produk cetak rompak.