KUALA LUMPUR: Penjualan kotak TV media yang mengandungi kandungan yang tidak mendapat kebenaran sah hak cipta adalah haram dan boleh diambil tindakan undang-undang.

Keputusan itu diputuskan Mahkamah Tinggi Harta Intelek di sini menerusi kes yang dibawa oleh Measat Broadcast Networks Sdn. Bhd, penyedia perkhidmatan untuk Astro terhadap penjual peralatan perisian penstriman haram (ISD) yang menyediakan aplikasi siaran Astro menerusi internet secara tidak sah atau di laman kandungan penstriman haram.

Mahkamah itu turut memaktubkan bahawa sebarang penjualan, tawaran untuk menjual, pengedaran dan, atau membekalkan kotak TV media atau ISD yang mengandungi kandungan yang tidak mendapat kebenaran sah hakcipta, merupakan pelanggaran hak cipta di bawah Akta Hakcipta 1987.

"Pendakwaan penuh bersejarah itu merupakan tindakan pertama yang diambil oleh Mahkamah Tinggi Harta Intelek, dan diterima baik dan begitu dialu-alukan oleh pihak berwajib dan pemain industri dalam usaha mereka memerangi cetak rompak digital.

BACA: Astro akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi membendung cetak rompak

"Penggiat industri termasuklah Astro memuji tindakan yang diambil Mahkamah Tinggi dengan menyatakan bahawa ini merupakan satu langkah berani yang diambil dan kita berada di landasan yang betul dalam membendung jenayah cetak rompak di Malaysia," memetik kenyataan yang dikeluarkan Astro.

Pengarah Kawal-Selia Astro, Laila Saat berkata pihak Astro akan sentiasa bekerjasama dengan pihak berwajib dan rakan-rakan penyedia kandungan dalam menyampaikan mesej yang tegas bahawa cetak rompak adalah mencuri, haram dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

"Keputusan yang dimaktubkan oleh pihak Mahkamah Tinggi bahawa penjualan ISD yang mengandungi kandungan yang tidak mendapat kebenaran sah hakcipta adalah setimpal dengan kesalahan pelanggaran hakcipta, secara tidak langsung menjadi penanda aras kepada mana-mana tindakan sivil yang ingin di ambil ke atas mana-mana penjual ISD haram di pasaran masa hadapan, termasuklah mereka yang berada di platform e-dagang.

"Pengisytiharan julung kalinya ini akan mengukuhkan lagi perlindungan harta intelek dalam negara ini dan usaha berterusan setiap pihak dalam membendung jenayah cetak rompak adalah penting bagi memastikan pelaburan jangka masa panjang dan kewujudan peluang pekerjaan dalam industri media dan hiburan tanah air akan terus berlangsung," katanya dalam satu kenyataan.

BACA: RM3 bilion hasil kecurian cetak rompak, hukuman setimpal tidak boleh dilengahkan

Kerugian tahunan yang disebabkan kegiatan cetak rompak digital ini dianggarkan sebanyak RM3 bilion kepada industri media dan hiburan tanah air.

Ia juga melibatkan kehilangan sejumlah RM500 juta cukai pendapatan dan mengakibatkan beribu-ribu individu kehilangan pekerjaan.

Keputusan yang dibuat pihak Mahkamah Tinggi Hari ini merupakan susulan dari kes-kes aktiviti jenayah yang dikenakan ke atas penjual ISD sebelum ini.

Pada 8 Februari lalu, seorang Pengarah di sebuah syarikat IT didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam di bawah Seksyen 41 (1) (ha) Akta Hakcipta 1987 kerana menjual teknologi atau alat bagi maksud memintas langkah perlindungan teknologi.

Pada 16 Februari pula, seorang pengarah wanita yang memilik syarikat aksesori telefon megaku bersalah di atas pertuduhan memiliki beberapa unit kotak TV Media yang mempunyai aplikasi siaran Astro menerusi internet secara tidak sah.

Tertuduh didenda sebanyak RM30,000 di bawah Seksyen 232(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, menjadikan beliau sebagai pesalah pertama disabit kesalahan menjual ISD.