TOKYO: Judo yang mula diperkenalkan pada 1882 oleh Jigoro Kano dan pertama kali dipertandingkan di Olimpik 1964 di Tokyo, kini sukan itu kembali semula ke negara asalnya Jepun, selepas 57 tahun.

Bermula 24 hingga 31 Julai, seramai 393 atlet judo akan bertanding dalam 15 acara (masing-masing tujuh kategori wanita dan lelaki serta kategori baru yang diperkenalkan iaitu pasukan campuran), lapor Xinhua.

Jepun adalah gergasi utama sukan itu, pada Olimpik Rio 2016, negara ini memenangi tiga emas, satu perak dan lapan gangsa.

Selepas Olimpik Rio, Jepun mendirikan pusat baharu untuk melatih dan meningkatkan lagi pretasi atletnya, kali ini Jepun meletakkan harapan besar bukan sahaja dalam acara judo tetapi karate, gimnastik, badminton dan gusti.

Usaha itu telah membuahkan hasil apabila Jepun menguasai lima pingat emas, empat perak dan dua gangsa pada Kejohanan Judo Dunia 2021.

Tahun ini sebagai tuan rumah, Jepun telah menempah tempat dalam semua 15 acara, menyaksikan juara Olimpik Shohei Ono bertanding untuk kategori -73 kilogram (kg) lelaki, juara dunia Uta Abe (-52kg wanita, Chizuru Arai (-70kg wanita), Naohisa Takato (-60kg lelaki), Hifumi Abe (-66kg lelaki) dan Aaron Wolf (-100kg lelaki).

Selain Jepun, negara seperti Perancis, Rusia dan Itali dilihat bakal memberikan saingan tidak ketinggalan Cuba, Amerika Syarikat, Brazil serta Korea Selatan.

Selain itu, China turut menghantar enam atlet wanita untuk memberikan saingan dalam kategori -48kg, -57kg, -63kg, -70kg, -78kg dan +78kg. Antaranya, Yang Junxia yang kini menduduki tempat ketujuh di Olimpik Rio 2016.

-- BERNAMA