PETALING JAYA: Lebih 10.8 juta rakyat sudah mengemas kini profil mereka dalam Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) setakat jam 12 tengah hari pada Ahad.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, jumlah itu meningkat kira-kira 200,000 berbanding 10.61 juta yang direkodkan pada tengah malam Sabtu.

Menurutnya, beliau optimis pendaftaran pada hari terakhir akan mencecah 50 peratus.

Katanya lagi, meskipun pendaftaran dilihat meningkat sejak beberapa hari lepas, namun sepanjang 90 hari dibuka, sistem PADU masih berjalan dengan lancar.

“Setakat ini sistem kita masih berjalan lancar walaupun kita tahu trafiknya agak tinggi. Ini satu perkara yang saya rasa perlu uar-uarkan.

“Sejak ia dilancarkan pada 2 Januari, sistem PADU ini berjaya kukuh, tanpa ada downtime. Maknanya, tiada masa satu minit pun sistem ini tersekat atau tidak boleh diakses.

“Maknanya sistem ini sentiasa beroperasi 24 jam. Kita doakan sehingga ke akhir nanti bila ia ditutup, ia dapat merekodkan satu pencapaian yang tinggi.

“Ia sekali gus menunjukkan kekukuhan PADU untuk memberi servis kepada orang ramai untuk mengemas kini maklumat  sosio ekonomi masing-masing,” katanya.

Tambahnya, meskipun sukar untuk mendapat jumlah pendaftaran 100 peratus, namun separuh daripadanya merupakan pencapaian yang baik.

Antara negeri mencatatkan peratusan mencecah 50 peratus ialah Perlis, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan, manakala Johor dan Selangor masih dalam lingkungan 40 peratus.

Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata, sebanyak 1,092 kaunter pendaftaran PADU dibuka di seluruh negara pada Ahad dari jam 9 pagi hingga 5 petang.

Pendaftaran secara dalam talian untuk sistem tersebut akan tamat pada 11.59 malam ini.

Beliau berkata demikian pada Program Pendaftaran Padu Bersama Ketua Perangkawan Malaysia (DOSM) di Petaling Jaya pada Ahad.