KUALA LUMPUR: Jumlah import Sarawak meningkat sebanyak 45.5 peratus bernilai RM 34.29 bilion pada 2022, demikian menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen pada Selasa, MITI berkata peningkatan jumlah import itu disumbang oleh kenaikan import kimia dan bahan kimia, keluaran petroleum serta bijih logam dan serpihan logam.

"Senarai barangan import utama Sarawak bagi 2022 menunjukkan trend yang sama iaitu -- kimia dan bahan kimia yang bernilai RM9.33 bilion dan mewakili 27.2 peratus syer daripada jumlah import Sarawak; bijih logam dan serpihan logam (RM5.07 bilion dengan 14.8 peratus syer); serta jentera, kelengkapan dan peralatan (RM4.39 bilion dengan 12.8 peratus syer)," katanya.

Kementerian itu menjawab soalan Mordi Bimol (PH-Mas Gading) yang ingin tahu tentang jumlah nilai ringgit import dan senarai barang-barang import utama Sarawak bagi tahun 2021 dan 2022.

Sementara itu, MITI berkata nilai import Sarawak pada 2021 berjumlah RM23.57 bilion, berkembang sebanyak 24.2 peratus daripada tahun sebelumnya berikutan peningkatan import kimia dan bahan kimia, bijih logam dan serpihan logam serta keluaran petroleum.

Senarai barangan import utama bagi Sarawak pada 2021 ialah kimia dan bahan kimia yang bernilai RM5.26 bilion dan mewakili 22.3 peratus syer daripada jumlah import Sarawak; bijih logam dan serpihan logam (RM3.65 bilion dengan 15.5 peratus syer); serta jentera, kelengkapan dan peralatan (RM2.98 bilion dengan 12.6 peratus syer).

-- BERNAMA