KUCHING:Jumlah kes positif COVID-19 di Sarawak hari ini menunjukkan penurunan dengan 60 kes selepas empat hari melaporkan kes harian tiga angka.

Sibu kekal merekodkan kes harian tertinggi dengan 43 kes diikuti Miri (10), Kuching (5) dan Kanowit (2).

Menerusi sidang media Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, pertambahan ini menjadikan jumlah kes keseluruhan di Sarawak meningkat kepada 1,980 kes.

Menurut pengerusinya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Kluster Pasai di Sibu kekal merekodkan kes tertinggi setakat ini.

“Hari ini terdapat pertambahan 48 kes menjadikan jumlah kes positif keseluruhan kluster ini kepada 510 kes.

“Setakat ini 1,450 individu telah disaring menyaksikan 907 individu disahkan negatif manakala 33 individu masih menunggu keputusan ujian makmal,” katanya.

BACA: PKP dilaksanakan di Bahagian Sibu bermula 16 Januari ini

Selain itu, daerah Kanowit kini dikategorikan sebagai zon kuning selepas melaporkan dua kes positif COVID-19 yang melibatkan kes jangkitan tempatan.

Manakala daerah Meradong pula dikategorikan sebagai zon hijau selepas tidak melaporkan pertambahan kes positif dalam tempoh 14 hari lepas.

Terdahulu pada Khamis, Sarawak melaporkan pertambahan 180 kes positif yang merupakan kes harian tertinggi negeri itu selepas tiga hari berturut-turut mencatatkan kes harian tiga angka.