Jumlah mangsa banjir di Perak, Pulau Pinang meningkat, Kedah menurun petang ini

Di Perak, jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS meningkat kepada 2,963 orang daripada 1,006 keluarga setakat petang ini. - Bernama
KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Perak dan Pulau Pinang terus meningkat, manakala di Kedah mencatatkan penurunan setakat petang ini.
Di PERAK, jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS meningkat kepada 2,963 orang daripada 1,006 keluarga setakat petang ini, berbanding 2,922 orang daripada 993 keluarga pagi tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak memaklumkan dua lagi PPS dibuka di Manjung dan Kerian menjadikan keseluruhan 28 PPS beroperasi setakat ini.
Seramai 2,042 orang daripada 712 keluarga ditempatkan di 19 PPS di Larut, Matang dan Selama, 597 orang daripada 199 keluarga di lima PPS di Manjung, 214 orang daripada 64 keluarga di tiga PPS di Kerian, serta 110 mangsa daripada 31 keluarga di sebuah PPS di Perak Tengah.
Di PULAU PINANG, jumlah mangsa banjir meningkat sedikit apabila 1,052 orang daripada 288 keluarga direkodkan berada di PPS petang ini, berbanding 1,026 orang daripada 279 keluarga pagi tadi.
Menurut laman sesawang info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah PPS yang dibuka masih kekal tujuh dengan empat di Seberang Perai Utara (SPU), dua di Seberang Perai Tengah (SPT) dan satu di Barat Daya.
Daerah SPU mencatatkan jumlah mangsa tertinggi seramai 798 orang dengan 401 orang berlindung di Sekolah Kebangsaan (SK) Lahar Yooi, 151 orang di Sekolah Agama Rakyat Nyior Sebatang, 127 orang (SK Padang Menora) dan 119 orang (pusat penempatan banjir Labuh Banting).
Di Seberang Perai Tengah (SPT) pula, sebanyak 175 orang ditempatkan di SK Guar Perahu dan 45 orang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permatang Pasir, manakala 34 orang berlindung di SK Tan Sri Awang Had Salleh dalam daerah Barat Daya.
Di KEDAH, jumlah mangsa banjir sedikit berkurangan kepada 1,562 orang daripada 488 keluarga setakat petang ini berbanding 1,858 orang daripada 587 keluarga pagi tadi, dengan semua mangsa dari daerah Kulim, Baling, Pokok Sena dan Pendang ditempatkan di 15 PPS.
JPBN Kedah dalam kenyataan memaklumkan Pendang merupakan daerah terbaharu terjejas banjir dengan tiga orang daripada sebuah keluarga ditempatkan di Dewan Badminton Tanjung Radin yang dibuka pada 2 petang tadi manakala 73 orang daripada 23 keluarga berlindung di Dewan Serbaguna Pokok Sena.
Daerah Kulim masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 1,146 orang daripada 346 keluarga ditempatkan di lapan PPS manakala di daerah Baling, seramai 340 orang daripada 118 keluarga ditempatkan di lima PPS.
"PPS Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chong Cheng yang dibuka di daerah Kuala Muda pada Rabu, telah ditutup sepenuhnya pada 3 petang tadi selepas kesemua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing berikutan air telah surut," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, laman sesawang Public Infobanjir memaklumkan lima sungai di Kedah dilaporkan melepasi paras bahaya iaitu Sungai Pendang di Pendang dengan 3.36 meter (m), Sungai Perik di Padang Terap (14.28m), Sungai Ketil, Kampung Bongor di Baling (60.22m), Sungai Laka di Kubang Pasu (22.55m) dan Sungai Titi Kerbau di Pendang (7.07m).
Tiga lagi sungai berada pada paras amaran iaitu Sungai Ketil, Kuala Pegang di Baling (37.09m), Sungai Chepir di Sik (36.51m) dan Sungai Anak Bukit di Taman Aman, Kota Setar (2.52m).
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


