KUALA LUMPUR: Sebanyak 774 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sabah dan Sarawak malam ini akibat banjir susulan hujan lebat sejak pagi tadi.
Di SABAH, 445 orang daripada 143 keluarga dipindahkan ke PPS di daerah Kota Marudu dan Paitan setakat 8 malam.
Advertisement
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dalam kenyataan memaklumkan Kota Marudu merekodkan mangsa paling ramai, iaitu 398 orang daripada 132 keluarga di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tandek 2 yang dibuka petang tadi.
Selain itu, PPS turut dibuka di SMK Tandek petang tadi, dengan proses pemindahan dan pendaftaran mangsa masih dilakukan malam ini.
“Pasukan penyelamat mula menggerakkan aset dan logistik awal pagi tadi selepas hujan lebat berterusan menjejaskan beberapa kawasan antaranya Kampung Beliajung, Kampung Asin-Asin dan Kampung Mosolog,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu di Paitan, sebanyak 47 orang daripada 11 keluarga dari Kampung Batangon Darat dipindahkan ke PPS Pusat Komuniti Masyarakat Kampung Batangon Darat yang dibuka sejak pagi tadi.
Situasi banjir di daerah Pitas pula masih dikemas kini.
Di SARAWAK, jumlah mangsa di dua PPS meningkat kepada 329 orang daripada 92 keluarga setakat 8 malam ini berbanding 38 mangsa daripada tujuh keluarga petang tadi.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak memaklumkan PPS Dewan R-Piang menempatkan 116 orang daripada 24 keluarga dari kawasan Kampung Sinar Budi Baru.
“PPS Dewan Masyarakat Stapok menempatkan sebanyak 213 orang daripada 68 keluarga dari kawasan Kampung Desa Ria,” menurut jawatankuasa itu.
Beberapa kawasan di bandar raya Kuching juga mula dilanda banjir susulan hujan lebat berterusan sejak pagi tadi.
-- BERNAMA